Malaysia Dateline

Juruterbang helikopter hilang semalam ditemui maut, walaupun menteri kata masih hidup

Juruterbang sebuah helikopter yang dilaporkan hilang semalam ditemui maut di lokasi nahas kejadian Hutan Simpan Chikus hari ini.

Pasukan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) memaklumkan mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi nahas ketika operasi menyelamat hari ini.

Kira-kira jam 9.40 pagi tadi, Menteri Pengangkutan, Dr Wee Ka Siong memaklumkan juruterbang itu selamat dan ia adalah berita yang ditunggu-tunggu oleh rakyat Malaysia.

Wee membuat pengumuman itu melalui video di Tik Tok.

Helicopter itu terputus hubungan dengan Pusat Kawalan Trafik Udara Kuala Lumpur (KLATCC) selepas dilaporkan hilang di kawasan Bidor.

Perkara itu disahkan oleh Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Yusri Hassan Basri seperti yang dilaporkan Bernama sebentar tadi.

“Mayat juruterbang sebuah helikopter yang hilang semalam, dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh untuk bedah siasat selepas diterbangkan dari lokasi kejadian menggunakan sebuah helikopter,” katanya.

Keadaan helikopter yang terhempas di Bidor, Wee Ka Siong kata juruterbangnya selamat.

Pesawat TUDM membawa mangsa helikopter terhempas mendarat di SMK Anderson pada pukul 10.27 pagi tadi.

Terdahulu, pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) mengesahkan sebuah helikopter jenis Eurocopter telah terputus hubungan dengan KLATCC pada pukul 12.16 tengah hari semalam.

Ketua Pegawai Eksekutif CAAM, Datuk Chester Voo berkata, helikopter dengan seorang juruterbang itu berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang pada jam 11.37 pagi untuk penerbangan persendirian dan dijadualkan mendarat pada 12.37 tengah hari di Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah, Ipoh.

Baca juga: Penjual mi ditahan buat parodi Salt Bae, sindir menteri makan stik bersalut emas RM7,759

Baca juga: Helikopter terputus hubungan selepas 39 minit terbang