Juruterbang maut, pesawat ringan terhempas

Juruterbang maut, pesawat ringan terhempas

Seorang juruterbang maut manakala pembantunya cedera apabila pesawat ringan jenis GT500 Microlight yang mereka naiki terhempas di kawasan Sungai Mati, Muar, Johor pagi tadi.

Timbalan Penguasa Jabatan Bomba dan Penyelamat Melaka, Kamaruzaman Mohd Din berkata pesawat satu enjin itu berlepas daripada Aerodrome Sungai Rambai, Jasin yang terletak kira-kira 200 meter daripada tempat kejadian.

Beliau berkata mayat juruterbang Yee Yoon Fah, 54, dihantar ke Hospital Tangkak manakala pembantunya Mohd Shahrul Shafiri, 35, yang cedera di muka dan badan di hantar ke Hospital Muar.

“Pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada pukul 11.53 pagi daripada orang kampung dan sebanyak tiga jentera dikejarkan ke lokasi kejadian,” katanya kepada pemberita.

Pesawat itu didapati dalam keadaan terbalik di dalam sungai.

“Mangsa yang cedera ditemui berada di tebing sungai dan pihak bomba mengambil masa kira-kira 15 minit untuk mengeluar mangsa yang meninggal dunia, dari badan pesawat,” kata Kamaruzaman.

Sementara itu Pengerusi Aerodrome Sungai Rambai, Datuk Hassan Abd Rahman berkata beliau difahamkan bahawa kejadian berlaku ketika pesawat terbabit sedang melakukan ujian untuk mendapatkan permit penerbangan Jabatan Penerbangan Awam.

“Operasi pusat tersebut (Aerodrome Sungai Rambai) dihentikan segera sehingga siasatan oleh pihak berkuasa selesai,” katanya yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Sungai Rambai.