Malaysia Dateline

#justiceforAyah: Anak kesal ayah ditukar dan diturunkan pangkat

Tindakan Yayasan Islam Kelantan (YIK) menukar dan menurunkan pangkat seorang gurunya kerana menyokong parti yang bukan menguasai kerajaan negeri Kelantan mendapat ‘terima kasih’ dari anak guru yang menjadi mangsa itu.

Dalam posting di facebooknya hari ini, Alawiah Junaidi anak kepada Junaidi Haji Abdullah, guru yang menjadi mangsa turun pangkat dan dipindahkan sekolah itu dengan penuh sindiran mengucapkan “Terima kasih kepada semua yang terlibat secara langsung atau secara sorok-sorok”.

Junaidi, Penolong Kanan Ko Kurikulum (PKKO) telah ditukar dari dari sekolah Maahad Muhammadi (Lelaki) ke Maahad Taqaddum Maarif, Pasir Tumboh sebagai ‘Guru Penolong’ mulai 26 Disember 2018.

Menurut surat pertukaran yang diletakkan Alawiah di facebooknya, arahan pertukaran itu ditandatangani sendiri oleh Pengarah YIK, Tengku Ab Rahman Tuan Yunus.

Dengan #justiceforAyah, Alawiyah secara sinis mengucapkan “TERIMA KASIH tanah tumpah NEGERIKU, negeri kesayanganku, negeri kebanggaanku kerana telah melahirkan ‘segolongan’ insan-insan yang cerdik pandai, alim ulama tapi lebih memartabat & mengangkat POLITIK LEBIH TINGGI daripada PROFESIONALISM.

“Hanya kerana AYAH seorang penyokong tegar MALAYSIA BARU serta berjawatan dalam PKR, segala tenaga dan masa yang dicurahkan berbakti kepada YIK dari 1986 ‘dimatikan dan diabaikan,” kata Alawiah.

Menurut Alawiyah, perkhidmatan ayahnya sebagai guru dan penjawat awam berbaki hanya 18 bulan sahaja bukan 18 tahun dan diturunkan pangkat pula.

“Dari seorang PKKO kepada GURU BIASA…pertukaran biarlah ada merit, bukan membuta tuli…di mana letaknya PROFESIONALISM masyarakat negeri Serambi Mekah ini??” tanya beliau.

“Terima kasih kepada semua yang terlibat secara langsung atau secara sorok-sorok…kami halalkan semua kerana kami tahu Allah SWT itu Maha Adil dan Maha Mengetahui,” tulis Alawiah lagi.

Selain Junaidi, seorang lagi guru yang menyokong PH juga ditukarkan sekolah.

Cikgu Zuhairi bin Ismail, dari Maahad Pengajian Islam Kota Bharu telah ditukarkan ke sekolah Maahad Yakubiah, Nipah, Bachok pada tarikh yang sama.

 

ULANGI SEJARAH

Sementara itu, Naib Pengerusi AMANAH Kelantan Che Ibrahim Mohamed berkata, pendekatan menukar guru-guru yang menyokong pembangkang inilah yang ditentang oleh Pas sebelum ini.

“Teringat ambo (saya) sekitar tahun 1980 apabila Kerajaan BN menukar ramai guru guru YIK ke kawasan pedalaman @ sebelah hulu kerana kuat Pas terutama ke Kandek dan Jerimbong (Gua Musang, Hulu Kelantan).

“Antara nama-nama yang masih ambo (saya) ingat ialah arwah Ustaz Mawardi, Tuan Kamarudin, Arwah Ustaz Idris Ahmad, Arwah Ustaz Wan Mustafa Rusdi, Cikgu Wan Rahim dan ramai lagi,” tulis bekas Khadi di Kelantan itu.

Katanya, kemuncak kepada pertukaran ini ialah pelajar pelajar Maahad Muhammadi Jalan Merbau buat demontrasi di awal tahun 1981 bermula dengan kunci pintu pagar sekolah dan kuncinya dibuang, menyebabkan semua guru-guru dan pelajar berkurung dalam pagar sekolah.

“Kemudian sejarah ini berulang tahun 1990 bila Pas menang semula di Kelantan, BN telah menukar aktivis Pas Kelantan yang bekerja sebagai Guru Kementerian ke Sabah dan Sarawak, ramai dari mereka tidak patuh kepada arahan ini dan menukar perkhidmatan jadi guru YIK,” kata Che Ibrahim.

Namun yang melucukan beliau, kata Che Ibrahim, ada pimpinan pelajar yang terlibat dalam demontrasi itu dan guru yang ditukar ke Sabah itu, sekarang terlibat dan menyokong pula pertukaran guru YIK kerana menyokong PH.