Justo jumpa Mahathir menarik perhatian netizen

Justo jumpa Mahathir menarik perhatian netizen

Bekas pegawai PetroSaudi International Ltd (PetroSaudi), Xavier Andre Justo, mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, yang berlangsung lebih sejam.

Justo berkata, gambar bersama Dr Mahathir yang dimuat naik menerusi akaun Facebook rasminya dan mengundang perhatian pelbagai pihak itu, diambil di kediaman peribadi Perdana Menteri, dekat Mines.

Ditanya mengenai butiran pertemuan berkenaan, Justo enggan mengemukakan perincian, namun memberi gambaran bahawa inti pati perbincangan berkemungkinan terarah kepada isu yang menjadi perbualan hangat ketika ini.

“Pertemuan itu diadakan pada jam 5 petang, hari ini (semalam)  dan berlangsung kira-kira satu setengah jam. Ia agak ‘hangat’ serta sangat baik.

“Anda boleh teka apa tujuannya, tapi saya tidak akan berikan sebarang butiran mengenainya buat masa ini,” katanya ketika dihubungi menerusi aplikasi Facebook Messenger, malam tadi  seperti lapor BH online.

Justo, 49, dipenjara tiga tahun di Bangkok selepas ditahan di rumahnya di pulau peranginan Koh Samui, selatan Thailand pada 22 Jun 2015, selepas pegawai PetroSaudi membuat aduan dia cuba memeras ugut syarikat itu sebanyak 2.5 juta Swiss francs (RM11 juta) dengan menggunakan dokumen dicuri daripada syarikat itu.

Pada Disember 2016, Justo, antara 150,000 banduan Thailand dan warga asing, diberikan pengampunan oleh Raja Thailand, Maha Vajiralongkorn.