Malaysia Dateline

Jutaan kenderaan sehari di lebuh raya, kerajaan digesa beri percuma pelekat RFID

Kerajaan dan PLUS Malaysia Berhad (PLUS) digesa untuk lebih fleksibel dalam penggunaan Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) di lebuh raya dalam pelaksanaan transaksi tol tanpa memansuhkan penggunaan kad Touch ‘n Go (TnG) yang sedia ada.

Ini adalah kerana rakyat perlu diberikan pilihan dan tidak dipaksa dengan satu kaedah sahaja seolah-olah kita hidup di bawah pemerintah autokratik.

Kad TnG sedia ada lebih mesra pelanggan kerana boleh juga digunakan untuk kemudahan lain seperti parking kereta dan kenderaan awam LRT, MRT dan sebagainya.

Kaedah penggunaan RFID sepenuhnya secara tunggal di tol lebuh raya jika dilaksanakan kelak, pasti menimbulkan masalah kepada pengguna apabila ia gagal berfungsi dengan baik.

Lagipun, kad TnG boleh digunakan untuk banyak kereta, sedangkan pelekat RFID hanya boleh digunakan untuk satu kereta sahaja.

Ini bermaksud, rakyat perlu membeli pelekat RFID bagi setiap kereta yang digunakan dan ini pasti menambah beban rakyat terutama golongan isi rumah M40.

Sudahlah, lebih 20 peratus atau kira-kira 580,000 isi rumah daripada kumpulan M40 tergolong dalam B40 sekarang, kaedah ini pasti menambah beban golongan ini yang biasanya memiliki lebih daripada satu kereta.

Kerajaan dan PLUS juga digesa untuk mengkaji semula kaedah ini supaya tidak membebankan golongan miskin bandar memandangkan kebanyakan pengguna lebuh raya adalah penduduk di kawasan bandar.

Dengan harga pelekat RFID yang cukup mahal (RM35), ia adalah penjualan yang menguntungkan kroni dan membebankan rakyat.

Tidak sepatutnya, kerajaan dan PLUS mengutamakan kepentingan kroni dalam keadaan kehidupan rakyat yang susah sekarang, ekonomi negara yang masih meleset dengan kadar inflasi 3.3 peratus pada November 2021 dan harga barang yang semakin naik.

Oleh itu, kerajaan dan PLUS digesa untuk memberikan pelekat RFID ini secara percuma, kerana keuntungan pasti diperolehi melalui pembayaran tol melibatkan lebih kurang sejuta kenderaan sehari untuk menampung kos pelekat yang hanya bernilai beberapa ringgit sahaja.

*FAIZ FADZIL merupakan peguam dan Jawatankuasa Pimpinan AMANAH Nasional juga merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang Pasir, Pulau Pinang.