Malaysia Dateline

Jutaan rakyat Iran hadiri himpunan prokerajaan, tangkis dakyah ‘kebangkitan rakyat’

Semalam jutaan rakyat Iran berkumpul  dan berarak di jalan-jalan raya di beberapa bandar besar republik itu untuk menunjukkan perpaduan dan sokongan kepada kerajaan pimpinan presiden Dr Hassan Rouhani.

Di dalam keriuhan himpunan mega di bandar-bandar utama republik itu, para demonstran menyatakan kesediaan untuk bertindak kepada musuh-musuh yang mengganggu-gugat kestabilan negara.

Warga Iran berhimpun dan berarak di jalan-jalan raya bagi menunjukkan kesetiaan mereka kepada negara sekaligus menangkis laporan media antarabangsa berhubung kebangkitan rakyat Iran menuntut perubahan regim.

Tidak seperti demonstrasi berskala kecil yang digerakkan segelintir anak muda dan mendapat sokongan moral pemimpin Amerika Syarikat dan Israel, perhimpunan mega yang dihadiri rakyat Iran semalam secara jelas menunjukkan kesetiaan kepada pengasas revolusi Islam Iran Almarhum Ayatollah Khomeini  dan menunjukkan solidariti kepada ketua negara,  Sayyed Ali Khameinei.

Ayatollah Khomeini telah meletakkan revolusi Islam Iran di tempat yang kukuh sebagai asas perjuangan rakyat dalam konteks politik gerakan Islam sejagat dalam era moden.

Stesen penyiar tempatan turut menyiarkan perhimpunan di ibu kota Tehran dan perarakan yang membawa sepanduk menyokong pemimpin tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei di Mashhad,  bandar kedua terbesar Iran.

Sebelum ini agensi media asing melaporkan protes besar-besaran membantah kepimpinan Dr Hassan Rou­hani.

Tunjuk perasaan yang pada mulanya bertujuan membantah peningkatan harga barang bertukar menjadi protes menentang kerajaan sedia ada.

Sesetengah protes yang berlaku berkait skandal kewangan berkaitan institusi kewangan haram, potongan bantuan kebajikan dan kenaikan harga minyak.

Protes antikerajaan itu kemudian merebak dari Mashhad ke beberapa bandar di seluruh negara dan dieksploitasi musuh-musuh politik Iran sebagai kebangkitan rakyat menentang regim penguasa.