Rahsia kebanyakan jutawan membina kekayaan melimpah ruah mereka salah satunya adalah melalui pengurusan kewangan mereka yang bijak.
Dengan harta ‘makan tujuh keturunan tak habis’ itu, mereka mampu membeli apa sahaja yang ada di dunia ini, walaupun mereka tidak memerlukan pun benda tersebut, seperti kereta mewah.
Misalnya, pengasas Microsoft dan bekas manusia terkaya di dunia, Bill Gate pernah membeli Porsche 911 untuk diri sendiri.
Manakala pemilik Virgin, Sir Richard Branson dirakam memandu Gibbs Aquada amfibianya di sekitar United Kingdom.
Tetapi, ada juga billionaire yang dilihat langsung tidak terikut-ikut trend memiliki kereta mewah dan selalu dilihat memandu kereta ‘murah’.
Kenapa 5 Billionaire Ini Selalu Dilihat Pandu Kereta ‘Murah’? Ini Alasannya
Berikut adalah lima kenderaan yang sangat sederhana yang dimiliki oleh lima orang billionaire, antara manusia terkaya di dunia.
Warren Buffet
Ketua Pegawai Eksekutif Bershire Hathaway ini sememangnya terkenal dengan sikap berjimat cermat. Ada laporan yang menyebut bahawa beliau tidak pernah membelanjakan lebih daripada RM14 untuk sarapan pagi dan tinggal di rumah yang sama dibelinya dengan harga sekitar RM142,000 pada tahun 1958.
Pada 2014, beliau dilaporkan membeli Cadillac XTS iaitu sebuah kereta dengan harga jualan sekitar RM204,000. Kereta itu dibeli sebagai pengganti kepada kereta sebelumnya, Cadillac DTS 2006. Alasannya kerana anak perempuan Buffet malu ayahnya masih memandu kereta lama tersebut.
Mark Zuckerberg
Pengasas dan CEO Facebook juga sering dilihat hanya memandu Acura TSX hitam, iaitu kereta berharga sekitar RM136,000. Mark berkata dia lebih suka memandu kereta itu kerana selamat, selesa dan tidak menonjol.
Mark juga dilaporkan mempunyai Volkswagen GTI, iaitu kereta dengan harga lebih kurang sama.
Alice Walton
Alice Walton yang juga pewaris kekayaan Wal-Mart, merupakan antara wanita terkaya didunia pada hari ini. Namun begitu, kenderaan pilihannnya hanyalah Ford F-150 King Ranch 2006 dengan harga sekitar RM181,000.
Mendiang bapanya Sam Walton pengasas Wal-Mart sebelum ini memandu trak yang sama sehingga dia meninggal dunia pada tahun 1992.
Ingvar Kamprad
Pengasas IKEA, mendiang Ingvar Kamprad ketika hayatnya difahamkan tidak suka membelanjakan wang untuk perkara yang tidak diperlukannya. Sebelum ini, dia pernah mendakwa, hanya memotong rambut apabila dia berada di negara membangun kerana harganya yang lebih murah.
Selama dua dekad, beliau dilaporkan hanya memandu Volvo 240 GL 1993. Pada asalnya kereta itu harga sekitar RM99,000, namun hari ini harganya mungkin sekitar beberapa belas ribu sahaja.
Steve Ballmer
Pemilik Los Angeles Cliper dan bekas ketua Eksekutif Microsoft mengakui bangga memandu Fords kerana bapanya adalah bekas pengurus di Ford Motor Company.
Pada tahun 2009, CEO Ford pada masa itu, Allan Mulally secara peribadi menyerahkan Ford Fusion Hybrid serba baharu kepada Ballmer. Penyerahan itu bersempena meraikan kenderaan ke sejuta mereka yang dilengkapi dengan SYNC, iaitu sistem komunikasi dan hiburan dalam kenderaan.