Malaysia Dateline

Rahmad Isahak 2

K’jaan P.Pinang perlu perjelas permohonan rumah kos rendah kepada tidak layak

Menurut Naib Presiden Parti Alternatif Rakyat (PAP), Rahmad Isahak, pendedahan laporan audit negara amat mengejutkan apabila dinyatakan dibawah Program Perumahan Kos Rendah (PPKS) semenjak tahun 2014 sehingga tahun 2016 seramai 208 pemohonyang berpendapatan melebihi RM2500 boleh memiliki rumah kos rendah.

“Disamping itu 162 pemohon yang berpendapatan RM,2501 hingga RM3,500 yang amat luar biasa apabila terdapat empat pemohon yang berpendapatan melebihi RM8500 turut memiliki rumah kos rendah berkenaan.

“Penemuan ini amat memeranjatkan rakyat Pulau Pinang kerana majoriti dari mereka adalah daripada golongan B40 yang telah memohon serta berkelayakan untuk memiliki seunit rumah kos rendah, ” jelasnya lagi.

Beliau juga berkata, tindakan ini adalah tidak wajar kerana hak golongan berpendapatan rendah tersebut telah dirampas melalui senarai tapisan oleh kerajaan negeri.

Ujarnya lagi, tambah membimbangkan apabila terdapat 490 pemohon miskin yang masih menanti tawaran walaupun telah 15 tahun membuat pendaftaran melalui pejabat perumahan negeri.

“Demi keadilan maka perkara ini perlu disiasat kerana terlalu serius sehingga terdapat individu yang berkelayakan membeli seunit rumah banglo, sebaliknya memiliki rumah kos rendah.

“Malah pada masa yang sama kerajaan negeri dituntut supaya mengeluarkan senarai statistik pemohon-pemohon yang berstatus melebihi hak kelayakan berkenaan bagi pengetahuan umum.

“Sejak lebih 9 tahun pembinaan rumah kos rendah majoritinya disediakan oleh pemaju swasta, maka sekalipun pemaju menjual terus ‘secara pintu belakang’, ” tegasnya lagi.

Rahmad juga berkata, senarai nama pemohon serta kelayakan pemohon menerusi borang pendaftaran mesti dikemukakan kepada agensi kerajaan negeri terlebih dahulu sebelum surat tawaran dikeluarkan.

“Tiada alasan terlepas pandang atau alasan lain yang boleh diterima melainkan wujudnya unsur salah guna kuasa serta rasuah dalam pengagihan rumah kos rendah tersebut.

“Sebelum ini pun seorang bapa kepada salah seorang Adun telah ditahan oleh SPRM kerana bertindak sebagai agen bagi urusan pembelian rumah kos rendah kerajaan negeri.

“Oleh kerana itu kerajaan negeri perlu bertindak lebih tegas serta drastik setelah adanya laporan ketua audit negara berkenaan isu ini, ” tambahnya lagi.

Sehubungan itu jelasnya, seandainya perkara ini tidak disekat dengan segera, tidak mustahil isu penawaran rumah kos rendah yang sepatutnya untuk golongan berpendapatan rendah bukan lagi menjadi satu keutamaan.

“PAP berharap SPRM dapat menyiasat secara telus dan bijak isu berkenaan hasil laporan yang dikeluarkan oleh ketua audit negara.

“Sekiranya ia mempunyai merit yang lebih menjurus kepada elemen rasuah serta salah guna kuasa, maka tindakan harus diambil dengan segera.

“Kita amat berharap keadilan dapat dicapai dan hak kepada golongan miskin bagi mendapat rumah kos rendah tidak dinafikan, ” katanya.