Malaysia Dateline

Kabinet akui 2 Timbalan Menteri keluar kenyataan tak betul

Mesyuarat Jemaah Menteri pagi tadi mengakui kenyataan yang dikeluarkan dua Timbalan Menteri mereka terhadap pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS) Veveonah Mosibin adalah tidak betul dan tidak wajar.

Ia susulan kenyataan Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Abdul Rahim Bakri dan Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin yang mendakwa pelajar tersebut telah menipu.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin berkata, Jemaah Menteri bersetuju bahawa isu sebenar dihadapi Veveonah adalah berkaitan masalah capaian internet di kawasan pedalaman.

“Jemaah Menteri pagi tadi telah bincang isu #Veveonah. Kabinet ambil maklum kenyataan dua Timbalan Menteri tidak betul dan tidak wajar.

“Kabinet setuju isu sebenar adalah capaian internet dan kemudahan asas lain khusus di pedalaman. Kerajaan akan usaha sebaik mungkin untuk perbaiki,” katanya menerusi hantaran Twitter hari ini.

Sebelum ini, tular video yang menunjukkan pelajar jurusan Asasi Sains itu terpaksa memanjat pokok untuk mendapatkan capaian internet bagi menjawab soalan peperiksaan pada 12 Jun lalu.

Pada 3 September, Zahidi yang juga Ahli Parlimen Padang Besar membuat kenyataan dalam Dewan Negara bahawa kisah diceritakan Veveonah yang dimuat naik di YouTube adalah palsu dan sekadar untuk menaikkan nama sendiri.

Selepas menerima kecaman hebat, Zahidi memohon maaf dan mengaku tersilap. Beliau mendakwa memperoleh maklumat tersebut daripada Abdul Rahim.

Pada 7 September pula, Abdul Rahim yang juga Ahli Parlimen Kudat tampil mempertahankan dirinya dengan mendakwa isu yang dicetuskan Veveonah sememangnya palsu, malah beliau menganggap pelajar terbabit hanya ‘membuat drama’ bagi meraih perhatian.