Malaysia Dateline

Kabinet baru tidak memberangsangkan, kata MT Umno

Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Johari Abdul Ghani menganggap senarai anggota Jemaah Menteri yang diumumkan hari ini, tidak memberangsangkan.

Beliau mengharapkan agar Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan membentuk satu Kabinet bipartisan atau merentas parti ketika waktu pandemik ini.

Sekurang-kurangnya beliau berkata, Ismail patut memperkenalkan wajah-wajah baru yang lebih bertenaga dan bersemangat.

“Barisan Kabinet ini tidak memberangsangkan,” ciapnya.

Dalam ciapan sama, beliau turut mengingatkan agar Ismail tidak berharap untuk berbulan madu kerana angka kes Covid-19 kini melonjak dengan setiap hari mencatatkan melebihi 20,000 kes.

Malah katanya, kerajaan perlu menunjukkan langkah segera untuk menangani masalah ekonomi dan kesihatan yang dihadapi negara.

Beliau berkata, kadar pengangguran dalam negara meningkat dari 4.5 peratus kepada 4.8 peratus dengan membabitkan lebih 700,000 rakyat Malaysia hilang pekerjaan.

Bahkan, Malaysia kini ketinggalan di belakang berbanding negara jiran lain seperti Vietnam yang merupakan pengeksport produk pembuatan terbesar di ASEAN.

“Situasi di Malaysia ini telah menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pelabur tentang perkembangan politik dan arah tuju ekonomi negara.

“Kerajaan mesti berhubung dengan syarikat multinasional serta pelabur asing dan tempatan untuk memastikan keperluan dan masalah mereka ditangani dengan betul,” katanya lagi.