Kabinet belum bincang proses ratifikasi ICERD, kata Wan Azizah

Kabinet belum bincang proses ratifikasi ICERD, kata Wan Azizah

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata Kabinet belum membincangkan secara terperinci proses ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).

Namun begitu, beliau memberi jaminan isu tersebut akan dibincangkan di Kabinet.

“Perkara itu belum dibincangkan secara terperinci dalam Kabinet. Kami akan bincangkan (selepas ini),” katanya kepada pemberita ketika diminta mengulas kebimbangan berhubung cadangan meratifikasikan ICERD yang akan menghakis hak istimewa orang Islam dan kepentingan Melayu.

Dr Wan Azizah yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat ditemui permberita selepas menghadiri majlis penutupan Persidangan Melestari Kesejahteraan Kanak-Kanak, Orang Kurang Upaya dan Warga Emas semalam, lapor Bernama.

Pada Ahad dianggarkan lebih 1,500 orang berkumpul di sekitar pekarangan Masjid Jamek, Kampung Baru di ibu kota bagi membantah pengiktirafan ICERD di Malaysia.

Pada 26 Oktober Menteri di Jabatan Perdana Menteri P. Waytha Moorthy dilaporkan berkata kerajaan Persekutuan komited untuk mengesahkan enam triti hak asasi manusia, termasuk ICERD pada suku pertama tahun depan.

Namun pada 31 Oktober, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata rundingan melibatkan semua kaum akan dilakukan sebelum Malaysia meratifikasi ICERD.

 

COMMENTS

Wordpress (0)