Kabinet bincang usaha tangani jerebu

Kabinet bincang usaha tangani jerebu

Mesyuarat Kabinet hari ini membincangkan usaha-usaha kerajaan untuk menangani kesan jerebu yang melanda Malaysia pada masa kini, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Kita bincangkan tentang cara-cara mengurangkan jerebu,” katanya ketika ditemui media pada Sambutan Ulang Tahun ke-35 Universiti Binary di sini malam ini.

Dr Mahathir turut ditanya mengenai kenyataan Menteri Alam Sekitar dan Perhutanan Indonesia, Siti Nurbaya yang mendakwa jerebu yang menyelubungi Malaysia bukan dari negara itu, sebaliknya berasal dari Sarawak.

“Itu dia punya komen, kita tidak boleh kata apalah,” kata Dr Mahathir.

Jerebu mulai melanda beberapa negeri di Malaysia sejak 5 Sept lepas, yang antaranya mengakibatkan ratusan sekolah di Sarawak diarahkan tutup.

Menurut kenyataan Jabatan Alam Sekitar (JAS) hari ini, kebakaran hutan di Sumatera dan Kalimantan, Indonesia masih menyebabkan jerebu merentas sempadan dan memberi kesan kepada peningkatan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di kawasan di sepanjang pantai barat Semenanjung Malaysia dan bahagian barat Sarawak.