Malaysia Dateline

Kabinet Ismail Sabri: Siapa untung siapa rugi

Pemilihan anggota kabinet Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob membayangkan pertembungan tiga penjuru dalam pilihan raya umum akan datang. Sebenarnya, ini adalah kerajaan Tan Sri Muhyiddin Yassin tanpa Mahiaddin.

Siapa Untung

Yang baik kita puji. Pelantikan Khairy Jamaluddin sebagai Menteri Kesihatan adalah satu berita baik untuk kabinet Ismail Sabri. Saya mengucapkan selamat berjaya kepada beliau.

Ketika beliau ditugaskan untuk menguruskan vaksinasi buat kali pertama, saya telah mencadangkan agar Khairy dilantik sebagai Menteri Kesihatan. Ini adalah kerana jika beliau tidak diberikan kuasa untuk menetapkan agenda Kementerian Kesihatan, ia seolah-olah mahu melihat beliau gagal disebabkan birokrasi Kementerian Kesihatan.

Kalaulah Muhiaddin berani melantik Khairy sebagai Menteri Kesihatan sebelum ini dan memastikan persaraan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah pada awal 2021, Malaysia akan lebih berjaya dalam menguruskan krisis pandemik Covid-19.

Sekurang-kurangnya, nama baik kerajaan Mahiaddin tidaklah terlalu tercemar sehingga rakyat menuntut beliau meletak jawatan.

Ketua Pengarah Kesihatan yang baharu boleh membawa idea yang segar dan perlu bekerjasama dengan semua pemegang taruh.

Walaupun saya ahli politik pembangkang, saya tetap mengutamakan negara. Saya sentiasa berharap agar Kementerian Pertahanan dan Angkatan Tentera Malaysia dipimpin oleh individu terbaik daripada kalangan pemimpin politik kerajaan sedia ada.

Bagi ramai orang, Dato’ Seri Hishammuddin Hussein dilihat seperti tidak banyak buat kerja dan tidak efektif. Tetapi, saya berharap beliau boleh melakukan yang terbaik sebagai Menteri Pertahanan, dengan pengalamannya yang ada sebelum ini, tanpa mengulangi kesilapan-kesilapan lepas.

Kini, Hishammuddin berpeluang untuk meneruskan agenda yang digariskan dalam Kertas Putih Pertahanan dan perancangan-perancangan tambahannya, termasuk mencari penyelesaian bagi projek bermasalah ketika pentadbiran beliau sebelum ini seperti projek Projek Kapal Tempur Pesisir Pantai atau Littoral Combat Ship (LCS) yang masih tertangguh.

Siapa rugi

Yang harus dikritik perlu ditegur. Zahid Hamidi, Najib Razak, dan gerombolan Umno yang menumbangkan kerajaan Mahiaddin akhirnya menjadi kelompok yang paling rugi. Ismail Sabri telah berjaya meminggirkan mereka.

Bagi saya, ini berita baik. Daripada 15 orang Ahli Parlimen Umno yang sebelum ini menentang Mahiaddin, hanya Tan Sri Noh Omar dan Datuk Seri Dr Noraini Ahmad sahaja dibawa masuk ke dalam kabinet kerajan baharu.

Kini, saya menunggu pula Perdana Menteri mengulangi komitmen yang sama seperti Mahiaddin untuk tidak mencampuri atau membantu kumpulan kleptokrat dalam menghadapi proses pengadilan mereka. Selagi kes mereka belum selesai, istilah ‘kleptokrat’ akan sentiasa kita dengar setiap hari.

Dengan hanya seramai 15 orang Ahli Parlimen, geng Zahid telah berjaya mencetuskan huru-hara terhadap pentadbiran Mahiaddin. Memang hebat tetapi dengan berakhirnya kepimpinan Zahid, ia merupakan satu permulaan baik buat negara.

Umno perlu melalui satu fasa pembaharuan dengan menjauhkan diri daripada Zahid, Najib, dan jenayah dan dosa lampau mereka terhadap rakyat serta negara. Maaf, tiada jalan pintas untuk mereka.

Seorang lagi yang turut rugi ialah Datuk Seri Mohamed Azmin Ali Azmin. Walaupun beliau mengekalkan portfolio yang sama ketika pentadbiran Mahiaddin, ini bukanlah sesuatu yang patut beliau banggakan.

Mengimbas kembali, Azmin memegang jawatan kanan ketika pemerintahan Pakatan Harapan di mana beliau dipertanggungjawabkan menangani urusan ekonomi negara. Tetapi apabila Mahiaddin merampas kerajaan, beliau telah “menurunkan pangkat” Azmin dengan hanya memberi jawatan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

Sebagai penggerak utama rampasan kuasa Sheraton, sudah tentu Azmin mengharapkan jawatan Timbalan Perdana Menteri sebagai habuan. Namun impiannya hampa.

Menurut khabar angin beberapa hari lalu, Azmin masih berharap untuk menjadi Timbalan Perdana Menteri, atau paling tidak pun Menteri Kewangan. Tetapi Ismail Sabri juga mempunyai perancangan lain.

Seperti mana ciapan twitter beliau kepada seorang pemimpin yang gagal mencapai cita-cita, hanya ada satu kata untuk Azmin buat masa ini: “Kesian”.

Realiti semasa

Mengenai Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz yang dikekalkan sebagai Menteri Kewangan, ia bukanlah soal untung atau rugi. Saya melihat hal ini sebagai satu keadaan yang baik berbanding pilihan-pilihan lain yang lebih buruk.

Beliau dilantik dalam kerajaan sebelum ini untuk membolehkan Mahiaddin menjadi dalang kepada Menteri Kewangan. Maknanya, aturan kabinet yang serupa tidak akan menghalang Ismail Sabri menguasai portfolio kewangan menerusi Zafrul. Tentunya, ini bukanlah amalan baik dari segi semak dan imbang dalam kabinet.

Namun, walaupun pelantikan Zafrul bukan sesuatu yang boleh dibanggakan, saya masih berpendapat bahawa Malaysia akan lebih rugi jika Azmin menjadi Menteri Kewangan. Begitu juga jika jawatan ini diberikan kepada mana-mana pemimpin kanan Umno, sama ada Mohamad Hassan atau Johari Ghani, kerana ia hanya akan menjadi platform bagi Umno untuk membina kekayaan politiknya.

Sebenarnya, kabinet Ismail Sabri adalah perisytiharan politiknya. Beliau sedang menzahirkan niat untuk bersaing dengan geng Zahid bagi mengambil alih Umno.

Dengan melengahkan Mesyuarat Khas Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno selama seminggu sejak dilantik sebagai Perdana Menteri, Ismail Sabri yang memegang jawatan Naib Presiden Umno memberi isyarat bahawa beliau bukannya pak turut kepada Zahid dan kepimpinan parti.

Geng Umno “tulen” (dalam kes ini, saya maksudkan kelompok tegar dalam Umno) tidak akan hanya berpeluk tubuh dengan pilihan kabinet Ismail Sabri yang dilihat tidak menguntungkan mereka. Lambat laun, mereka akan menuntut hak untuk kembali berkuasa.

Sama ada Ismail Sabri dapat mengambil alih Umno daripada geng Zahid atau tidak, ia akan ditentukan kemudian. Yang bakal berlaku adalah Ismail Sabri dan pemimpin-pemimpin Umno dalam kabinet seperti Annuar Musa dilihat bersedia untuk bertanding dalam pilihan raya umum akan datang bersama Bersatu dan Pas sebagai satu gabungan. Strategi inilah yang ditentang kuat oleh geng Zahid dan geng Umno tulen.

Ini membayangkan kemungkinan pertembungan tiga penjuru seperti dalam karya klasik China “Hikayat Tiga Negara”. Blok pertama – geng Ismail Sabri, Bersatu dan PAS sebagai satu gabungan, sama ada menggunakan jenama Perikatan Nasional atau Barisan Nasional – akan menentang blok kedua, iaitu geng Umno tulen yang menolak kumpulan Ismail Sabri dan Bersatu, dan blok ketiga, Pakatan Harapan.

Saya tidak melihat kerajaan Ismail Sabri mampu membawa sebarang perubahan yang transformatif. Namun, apa yang paling diperlukan negara dalam situasi pasca pandemik adalah transformasi.

Perubahan besar dalam hal urus tadbir hanya akan dapat dilakukan sekiranya Pakatan Harapan dan parti-parti pembangkang lain dapat duduk semeja dan menggembleng usaha untuk menawarkan barisan kepimpinan dengan semangat pasukan yang kuat, dasar alternatif yang berkesan, dan pemikiran yang segar. Inilah masanya untuk membina semula negara dengan asas yang lebih baik.