Malaysia Dateline

Kabinet Mahiaddin perlu berhenti lumur arang ke muka Agong dan istana

Tindakan Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Datuk Seri Rais Yatim dan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun yang hanya mencadangkan kepada Perdana Menteri agar dilaksanakan sidang Parlimen khas, mempamerkan sikap yang mencalar kewibawaan Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu.

Ahli Dewan Negara, Aiman Athirah Sabu menegaskan bahawa Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah menzahirkan dengan jelas agar Ordinan-Ordinan Darurat serta Pelan Pemulihan Negara dibahaskan di Parlimen.

Bagaimanapun menurutnya, sidang Parlimen khas yang dicadangkan kedua-dua Speaker itu hanyalah untuk membincangkan soal berkaitan pindaan peraturan mesyuarat dewan bagi membolehkan satu Sidang Hibrid diadakan selepas daripada 1 Ogos iaitu tarikh akhir darurat.

“Mengapakah timbul istilah sidang khas ini, dari mana?Adakah ini dibuat selepas perbincangan dengan Perdana Menteri yang kelihatannya sangat enggan dan sering dilihat gagal melaksanakan titah Tuanku Agong?

“Adakah kedua-dua Speaker Dewan telah bertindak derhaka terhadap titah Tuanku, hanya semata-mata bagi memenuhi kehendak dan keperluan seorang PM yang mungkin berjasa mencadangkan nama mereka ke jawatan tersebut?

“Adakah mereka lupa bahawa cadangan pelantikan mereka ke jawatan tersebut tidak akan mempunyai apa-apa makna sehinggalah perkenan KDYMM Tuanku Agong?

“Tidakkah semua tindakan mereka ini telah mencalar kewibawaan KDYMM Tuanku Agong dan Majlis Raja-Raja Melayu di mata awam sekaligus di mata dunia?,” soalnya dalam satu kenyataan tengah hari ini.

Sementara itu Aiman Athirah yang juga Ketua Wanita Pakatan Harapan menegur agar kerajaan Perikatan Nasional (PN) berhenti melumur arang ke mukani Agong dan Istana kerana titah baginda itu merupakan suara rakyat jelata.

Beliau turut mengingatkan bahawa Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja Melayu telah menzahirkan dengan jelas akan keperluan negara untuk segera keluar daripada kegagalan mengawal dan mengurus bukan sahaja masalah pandemik Covid-19, tetapi juga dampaknya terhadap ekonomi negara dan perpaduan sosial rakyat keseluruhan.

Bahkan katanya, Tuanku Agong konsisten menzahirkan tentang betapa pentingnya kestabilan politik dan keperluan adanya sebuah kerajaan yang mendapat mandat rakyat bagi memerangi wabak Covid-19 secara berkesan.