Malaysia Dateline

Kabinet Muhyiddin, Khairuddin ‘munafik’ sokong KKM tangani Covid-19

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berpendapat kerajaan Persekutuan diterajui Muhyiddin Yassin gagal untuk menyokong Kementerian Kesihatan (KKM) dalam menangani pandemik Covid-19.

Bekas Menteri Kewangan itu berkata, rekod 871 kes jangkitan Covid-19 semalam yang merupakan angka tertinggi adalah satu peringatan yang memalukan tentang kegagalan tersebut.

Katanya, Kabinet, Menteri Dalam Negeri dan Perdana Menteri perlu menanggung tanggungjawab paling besar ekoran kembalinya gelombang penularan Covid-19.

Beliau menegaskan Kabinet Muhyiddin telah gagal untuk melaksanakan peraturan kuarantin dan protokol keselamatan Covid-19 terhadap individu yang pulang dari Sabah selepas pilihan raya negeri (PRN) pada 26 September lalu.

Menurutnya, PRN Sabah tidak perlu dilaksanakan tetapi wujudnya percubaan rampasan kuasa yang didalangi Muhyddin dan bekas Ketua Menteri Umno Sabah untuk menjatuhkan Ketua Menteri Sabah ketika itu, Datuk Seri Shafie Apdal.

“Namun, mereka yang bertanggungjawab enggan mengaku salah malah cuba untuk menyalahkan DAP pula.

“Kemunafikan ini samalah seperti Menteri Khairuddin (Khairuddin Aman Razali) yang menasihati orang awam untuk mematuhi peraturan kuarantin dan Covid-19,” bidasnya dalam satu kenyataan.

Berbeza dengan rakyat biasa, Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan berkata, Khairuddin diberi layanan istimewa dan tidak didakwa di mahkamah walaupun gagal mematuhi arahan kuarantin selama 14 hari di rumah.

“Sila lihat cermin dan muhasabah diri,” tegasnya kepada PN dan BN serta Khairuddin yang terus menyalahkan DAP atas kegagalan mereka sendiri.

Guan Eng menambah rakyat sudah muak dengan kerajaan pada masa ini yang hanya menjaga kepentingan mereka sendiri.

“Rakyat Malaysia bergantung pada diri mereka sendiri untuk mengatasi wabak Covid-19 ini dengan wira-wira barisan hadapan.

“Bersama kita akan berjaya mengharunginya,” katanya lagi.