Malaysia Dateline

Kabinet putuskan gaji minimum RM1,050 diseragam seluruh negara Januari depan

Kerajaan Pakatan Harapan hari ini bersetuju untuk melaksanakan kadar gaji minimum yang seragam di Semenanjung, Sabah dan Sarawak termasuk Wilayah Persekutuan Labuan menjelang Januari 2019.

Keputusan yang dicapai sebula suara dalam mesyuarat kabinet hari ini memutuskan gaji minimum rakyat Malaysia yang bekerja di sektor swasta adalah RM1,050 sebulan/ RM5.05 sejam berkuatkuasa pada 1 Januari 2019.

Dalam satu kenyatan dikeluarkan Pejabat Perdana Menteri hari ini memaklumkan keputusan dibuat jemaah menteri sebagaimana diperuntukan oleh Seksyen 25 Akta Majlis Perundingan Gaji Negara 2011.

Kajian semula terhadap Perintah Gaji Minimum 2016 dilakukan dan syor-syor MPGN dibincangkan oleh jemaah menteri hari ini.

“Kerajaan juga memutuskan tidak akan memberi sebarang subsidi kepada mana-mana majikan kerana kekangan kewangan semasa negara.

“Peningkatan gaji minimum ini adalah selaras dengan situasi ekonomi semasa negara,” ujarny kenyataan itu.

Kenyataan itu juga menyatakan kerajaan melihat kewajaran gaji minimum itu dinaikan secara berkala dalam tahun-tahun akan datang supaya industri dan majikan kecil tidak menutup perniagaan.

Majikan dan peniaga juga diseru supaya tidak menaikkan harga barangan dan perkhidmatan susulan kenaikan gaji minimum ini dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) juga diminta untuk membuat pemantau terhadap pelaksanaan gaji minimum pada tahun depan.

Setakat ini, gaji minimum yang diterima di Sabah dan Sarawak adalah sekitar RM800 hingga RM920, manakala di Semenanjung adalah sebanyak RM1,000 sebulan.