Malaysia Dateline

Kabinet putuskan tiada kenaikan tarif elektrik, teruskan subsidi RM700 juta

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan kabinet telah memutuskan untuk tidak menaikkan tarif elektrik kepada lebih 9 juta pengguna domestik.

“Sehubungan dengan itu, kerajaan memutuskan untuk meneruskan subsidi sebanyak lebih RM700 juta agar pengguna-pengguna domestik tidak terkesan,” ciap beliau di Twitter.

Perkembangan ini hadir kurang daripada 48 jam selepas Menteri Tenaga dan Sumber Asli Takiyuddin Hassan mengumumkan bahawa tarif baru untuk 2022 – 2024 mungkin akan dilaksanakan pada 1 Feb.

Terdahulu, Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata kadar tarif baharu elektrik yang bakal diumumkan tidak akan membebankan rakyat.

Pemimpin Pas itu berkata tarif baharu elektrik bagi tahun ini sehingga 2024 sudah diputuskan dan akan diumumkan tidak lama lagi.

Menurutnya, dia sudah berbincang dalam Kabinet sebanyak enam kali berturut-turut dan kadar itu telah dimuktamadkan.