Kabinet Sabah dibentuk dalam tempoh terdekat, kata Mohd Shafie

Kabinet Sabah dibentuk dalam tempoh terdekat, kata Mohd Shafie

Barisan Kabinet baharu negeri Sabah akan dibentuk dalam masa terdekat, kata Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Mohd Shafie, yang memulakan tugas selaku ketua pentadbiran kerajaan negeri pada hari ini, turut memberi jaminan akan mengumumkan barisan Kabinet negeri Sabah dalam tempoh terdekat.

“(Pembentukan Kabinet negeri) sedikit masa lagi. Apa jua bentuknya, pengumuman akan dibuat. Biarlah ia jadi kejutan,” katanya kepada pemberita selepas memulakan tugas secara rasmi sebagai Ketua Menteri Sabah ke-15, di Pusat Pentadbiran Kerajaan Negeri Sabah, di sini hari ini.

Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah Tan Sri Sukarti Wakiman.

Dalam pada itu, Mohd Shafie berkata, pihaknya menyerahkan kepada kebijaksanaan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menentukan wakil rakyat dari Sabah yang akan mengisi barisan Kabinet di peringkat Persekutuan.

Sementara itu, ditanya mengenai kesetiaan beberapa Adun BN yang menyertai Warisan, Mohd Shafie, yang juga Presiden Parti Warisan, berkata terpulang kepada mereka sama ada tetap sedia bersama Warisan atau sebaliknya.

“Ada mereka (Adun BN) telah berjumpa dan menyatakan sokongan kepada saya. Namun pada awalnya kita telah bergabung dengan UPKO dan ia telah cukup untuk membolehkan kita menubuhkan kerajaan dan saya yakin mereka tegas.

“Kalau ada Adun BN hendak masuk (Warisan) lagi kita akan lihat macam mana dan kalau ada Adun Umno hendak masuk ke Warisan kita tidak meletakkan apa-apa syarat tetapi ada antara mereka telah menyatakan sokongan kepada saya sebagai ketua menteri,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Mohd Shafie berkata beliau juga meminta supaya larangan kemasukan beberapa pemimpin Pakatan Harapan ke Sabah sebelum ini dibatalkan serta-merta.

Mohd Shafie berkata ini berikutan terdapat larangan terhadap dua Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar dan Tian Chua daripada memasuki negeri ini, sebelum ini.

CATEGORIES
TAGS