Malaysia Dateline

Kabinet Sabah tanpa seorangpun wanita membimbangkan

Kerajaan Sabah sepatutnya mempertimbangkan secara serius terhadap seruan agar Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) yang dilantik, meletakkan jawatannya untuk memberi peluang kepada golongan wanita berada Kabinet Negeri Sabah.

Ahli Parlimen Iskandar Puteri Lim Kit Siang berkata, gesaan badan Sabah Women’s Action Resource Group (SAWO) menunjukkan kemarahan dan kekecewaan mereka kerana hakikatnya tidak ada seorang pun Menteri wanita di dalam Kabinet baharu Sabah.

SAWO dalam kenyataannya sebelum ini berkata, mesej yang ingin disampaikan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) adalah jelas bahawa mereka menganggap wanita Sabah tidak cukup bagus untuk mendapatkan tempat duduk bagi berbincang bersama pemimpin lelaki bagi mentadbir negeri itu.

Namun menurut Kit Siang, ini bukanlah satu-satunya kekurangan Kabinet Sabah.

“Amat menyedihkan apabila umur purata Kabinet Sabah ini adalah 60 tahun iaitu satu langkah kebelakang berbanding dengan Kabinet Shafie Apdal yang melibatkan golongan belia dan wanita dalam kedudukan kepimpinan.

“Ketua DAPSY Sabah Ginger Phoong (Adun Luyang) sendiri telah dilantik sebagai Menteri Belia dan Sukan dalam Kabinet Shafie semasa beliau berumur 29 tahun.

“Apa yang lebih menonjol adalah ketiadaan seorang Menteri Kesihatan, terutamanya ketika Sabah sedang menjadi pusat utama penularan wabak Covid-19 dalam negara, dengan mencatatkan lebih daripada separuh daripada kesemua kes aktif Covid-19,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Bahkan kata Kit Siang, tidak ada sesiapa pun yang tidak akan bersetuju jika Kabinet Sabah dikatakan sebagai Kabinet paling teruk dalam sejarah Sabah.