Malaysia Dateline

Kabinet Sarawak digesa timbang semula pembiayaan untuk semua Adun

Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pujut daripada Pakatan Harapan (PH), Dr Ting Tiong Choon menggesa Kabinet Negeri Sarawak supaya menimbang semula untuk memberikan pembiayaan kepada semua anggota dewan undangan negeri.

Beliau berkata lebih daripada 20 peratus pengundi menetap dalam 10 dewan undangan negeri (Dun) yang dimenangi wakil PH dan kedua-dua Barisan Nasional / Gabungan Parti Sarawak (GPS) telah menafikan bahagian yang adil dan saksama kepada semua penduduk Sarawak.

“Kami, sebagai anggota yang dipilih berhak ke atas bahagian kami, dan kami meminta status yang sama sebagaimana kesemua anggota GPS yang dipilih dalam dewan ini, jadi kami boleh memberi perkhidmatan kepada kesemua penduduk Sarawak dengan adil,” katanya semasa membahaskan usul terima kasih kepada ucapan Yang di-Pertua Negeri Tun Abdul Taib Mahmud pada Persidangan Dewan Undangan Negeri pada Isnin.

Sementara itu, Gerald Rentap Jabu (GPS-Layar) berkata ADUN PH wajar diberi penghargaan untuk kebaikan hati dan simpati mereka kerana mengundi menyokong usul pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan, yang diluluskan dalam persidangan kali ini.

“Ini menunjukkan kematangan dan mengetahui apa yang sememangnya benar dan baik perlu disokong sepenuh hati. Kita perlu bertegas dalam matlamat bersama dan sebagai anggota dewan ini, menjadi benteng kepada Sarawak, mempertahankan Sarawak,” katanya.

Sementara itu, Ali Biju (PH-Krian) berkata terdapat keperluan untuk meminda Ordinan Mahkamah Anak Negeri untuk membolehkan Mahkamah Anak Negeri berada di kedudukan setara dengan mahkamah sivil dan mahkamah syariah.

Beliau berkata langkah itu akan mengupayakan dan melengkapi mereka yang mengendalikan kes-kes anak negeri, termasuk pertikaian ke atas tanah Hak Adat Bumiputera (NCR).

“Sebarang pertikaian dalam tanah NCR mesti diselesaikan menerusi Mahkamah Anak Negeri. Isunya adalah apakah keupayaan sistem Mahkamah Anak Negeri untuk membuat keputusan ke atas kesemua isu tanah berkenaan dan banyak kes anak negeri tertangguh di Mahkamah Anak Negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membangkitkan kebimbangan golongan anak negeri ke atas Hak Adat Bumiputera di bawah Seksyen 6 Kanun Tanah Sarawak, yang menimbulkan keresahan dalam kalangan mereka. – BERNAMA