Malaysia Dateline

Kabinet terbubar jika Mahiaddin letak jawatan, Ismail tidak boleh ganti

Veteran Umno, Tan Sri Shahrir Samad mengeluarkan kenyataan tanpa mempedulikan fakta perlembagaan apabila menyatakan bahawa Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob layak mengambil alih jawatan Perdana Menteri Interim bagi menggantikan Tan Sri Mahiaddin Md Yasin.

Ahli Parlimen DAP, Lim Kit Siang mengulas perkara itu dan berkata, apabila perdana menteri meletakkan jawatannya, Kabinet akan terus terbubar selepas itu.

“Amat mengejutkan apabila Umno kata Ismail Sabri yang dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri boleh menjadi Perdana Menteri sementara jika Mahiaddin meletakkan jawatan.

“Apa yang lebih mengejutkan, kenyataan itu dibuat tanpa mempedulikan fakta perlembagaan bahawa Kabinet akan terbubar selepas Perdana Menteri meletak jawatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada semalam, Shahrir yang juga Ketua Umno Bahagian Johor Bahru itu berkata, Ismail Sabri mendapat kepercayaan Mahiaddin berbanding menteri kanan yang lain apabila dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Justeru katanya, jika Mahiaddin turun dan tidak lagi menjadi perdana menteri, sudah ada timbalan yang boleh mengambil alih.

“Sekarang sudah jelas. Ismail Sabri boleh jadi perdana menteri sementara, kerajaan tidak goyang,” kata Shahrir dalam satu hantaran di Facebook pada semalam.

Sementara itu, Lim berkata, ketika ini Malaysia sedang berhadapan dengan situasi di mana sebuah kerajaan sedang lumpuh dalam keadaan negara sedang kritikal melawan wabak Covid-19.

Menurutnya, angka kes positif Covid-19 pada semalam merupakan rekod kedua tertinggi pernah dicatatkan dalam tempoh 18 bulan lalu.

Justeru katanya yang mengulangi pendiriannya, Malaysia memerlukan sebuah strategi dan pendekatan baharu melibatkan “keseluruhan kerajaan” dan “keseluruhan masyarakat” untuk melawan Covid-19, yang mengancam bukan sahaja kehidupan rakyat, malah kestabilan ekonomi negara.

“Bahtera Malaysia mula bocor, dan semua rakyat Malaysia harus bekerja keras untuk memperbaiki kebocoran ini bagi mengelakkan bahtera ini daripada terus karam ke lautan dalam,” katanya lagi.