Malaysia Dateline

Kabinet tubuh pasukan petugas khas siasat isu monopoli di empat kementerian

Dr Dzulkefly Ahmad

Kabinet bersetuju menubuhkan satu pasukan petugas khas yang diketuai Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Azmin Ali untuk menyiasat isu monopoli melibatkan empat kementerian.

Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad berkata, empat kementerian terlibat ialah Kementerian Kesihatan, Kementerian Pengangkutan, Kementerian Hal Ehwal Ekonomi serta Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.

“Satu kajian akan dibuat secara menyeluruh tentang isu monopoli sesetengah penyedia perkhidmatan di negara ini bagi mencari pendekatan terbaik dan mengelak penambahan kos kepada kaedah perolehan.

“Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad ingin isu ini diselesaikan secepat mungkin kerana perkara tersebut selalu berbangkit,” katanya kepada pemberita di Putrajaya, semalam.

Menyentuh mengenai kaedah perolehan perubatan, beliau memberitahu terdapat tiga kaedah digunakan iaitu melalui tender terbuka, rundingan terus dan kaedah perjanjian konsesi.

“Namun melalui kaedah perjanjian konsesi, ia sukar kerana terdapat pelbagai perkara yang tidak telus,” katanya.

Baru-baru ini, Kementerian Kesihatan mengalu-alukan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk melakukan siasatan mengenai dakwaan wujudnya monopoli bekalan ubatan di negara ini.