
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mujahid Yusof telah membentangkan Kad Laporan Jabatan Perdana Menteri (Agama) bertemakan ‘Menuju Negara Rahmah’ di Putrajaya semalam.
Kad laporan tersebut menggariskan pencapaian mengikut tujuh kluster iaitu kehakiman dan perundangan; dakwah dan media; pendidikan dan modal insan; halal dan tabung haji, masjid; maqasid dan penyelidikan serta sosio-ekonomi.
Dr Mujahid berkata, kluster perundangan dan kehakiman juga merekodkan pencapaian yang amat signifikan melalui penubuhan dan pengoperasian Mahkamah Khas Perkahwinan, Hadhanah dan Nafkah bermula September lepas.
Mahkamah Khas Perkahwinan itu yang antara lain diberi kuasa menyita harta bekas suami yang culas memberi nafkah kepada bekas isteri, dijangka dapat mempercepatkan penyelesaian masalah perkahwinan dan perceraian serta hak penjagaan anak yang difailkan di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan, sekaligus memberi pembelaan kepada ribuan wanita yang tidak terbela sebelum ini.
Melalui mahkamah khas itu juga proses penyelesaian kes boleh berlaku dalam tempoh enam bulan berbanding 14 bulan sebelum ini.
Selain itu, usaha memperkasakan profesion peguam syarie juga berjaya dilaksanakan apabila Rang Undang-Undang (RUU) Profesion Guaman Syarie (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 2019 yang bertujuan menetapkan amalan, etika, kelakuan dan tatatertib profesional peguam syarie diluluskan di Dewan Rakyat dan Dewan Negara, masing-masing pada 15 dan 31 Julai lepas.
RUU itu juga membolehkan pembentukan Lembaga Kelayakan Profesion Guaman Syarie, Badan Peguam Syarie dan Majlis Peguam Syarie Wilayah Persekutuan.
Melalui kluster dakwah dan media, usaha merakyatkan gagasan Rahmatan Lil Alamin dilakukan dengan penganjuran Karnival Rahmah, Multaqa Ulama Asia Tenggara, Forum RAHMAH.
Sementara itu, TV Alhijrah mewujudkan saluran YouTube HBIT bagi menyokong aspirasi kerajaan membawa gagasan RAHMAH selain melancarkan 10 siri buku konsep Rahmatan Lil Alamin bagi memberi pemahaman kepada masyarakat tentang konsep tersebut.
Usaha mempromosi gagasan Rahmatan Lil Alamin juga diambil dengan melantik 200 duta RAHMAH melibatkan individu daripada pelbagai latar belakang, termasuk selebriti bagi menyantuni masyarakat untuk lebih dekat dengan Islam.
Menurut Dr Mujahid, di peringkat antarabangsa, promosi tersebut dilakukan ketika beliau dijemput dalam program bual bicara Hard Talk BBC selain memberi ceramah umum berkaitan konsep Rahmatan Lil Alamin di University Cambridge, United Kingdom, bulan lepas.
Jelasnya, usaha memperkasakan pendidikan dan modal insan di dalam kluster ketiga juga telah dilakukan dengan cemerlang melalui penubuhan Pelan Tindakan Sosial Islam (PTSI) bagi memantapkan institusi keluarga, sosial dan komuniti.
Penerangan gagasan negara Rahmah juga dilakukan menerusi sesi town hall di 10 institusi pengajian tinggi (IPT) selain 14 siri serupa turut diadakan di pelbagai peringkat di setiap negeri.
Dr Mujahid berkata, aspek pendidikan Islam juga tidak dikecualikan apabila kerajaan memperuntukkan sebanyak RM75 juta kepada sekolah pondok berdaftar dan institusi tahfiz serta penubuhan Tabung Kebajikan Guru KAFA dengan dana sejumlah RM2.6 juta.
Bagi kluster sosio-ekonomi, katanya pihaknya telah mewujudkan asnafpreneur, iaitu inisiatif perniagaan yang menyasarkan untuk mengeluarkan golongan asnaf daripada kitaran kemiskinan manakala pengenalan program Food Bank di masjid-masjid di wilayah persekutuan dan IPT terpilih telah memberi banyak manfaat kepada golongan yang memerlukan bantuan.
Kluster pengurusan haji dan pensijilan halal juga mencatatkan pencapaian membanggakan apabila kedudukan kewangan Lembaga Tabung Haji (TH) semakin kukuh dengan jumlah aset terkini bernilai lebih RM2.3 bilion.
“Mengambil kira defisit sebanyak RM10 bilion yang dimiliki TH ketika (Pakatan Harapan) mengambil alih kerajaan pada Mei 2018, pencapaian ini boleh dianggap amat signifikan buat kami,” jelasnya.
Beliau turut menyifatkan dasar Rahmatan Lil Alamin yang diluluskan Jemaah Menteri pada 25 Oktober lalu sebagai antara pencapaian paling signifikan Jabatan Perdana Menteri (Agama).
Pelaksanaan sepenuhnya dasar itu dalam pentadbiran kerajaan dijangka dapat dilakukan tahun depan.
Gagasan tersebut bermula, jelasnya, apabila Mesyuarat Majlis Raja-Raja memperkenankan cadangan Pelaksanaan Gagasan Negara Rahmah Dalam Pentadbiran Negara, 4 Julai lalu.
“Bagi saya, keputusan kerajaan menerima Dasar Rahmatan Lil Alamin adalah paling signifikan kerana kita berjaya bawa dasar baharu Islam termasuk bajet RM10 juta untuk penerangan kepada rakyat berhubung dasar ini,” katanya dalam sidang media semalam.