KADA akan kembang serai buluh ganti straw plastik

KADA akan kembang serai buluh ganti straw plastik

Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) akan memperluaskan tanaman serai buluh di semua peringkat untuk komersialkan tanaman itu bagi menggantikan straw plastik di seluruh negara.

Tanaman itu, menurut Pengerusi KADA Senator Husam Musa boleh ditanam di mana-mana sahaja sama ada di sekolah, rumah, atau di kawasan lapang termasuk di penjara.

“Tanaman serai buluh telah diusahakan banyak pihak tetapi tidak ada yang komersialkan. Kerajaan Selangor dan Wilayah Persekutuan keluar arahan tidak boleh guna straw plastik tetapi ada gantian kepada straw plastik,” katanya.

Husam berkata, daripada berpuluh-puluh serai yang ada serai buluh telah dikenal pasti sesuai dengan panjang dan saiz sebagai penyedut minuman.

Malangnya, kata beliau, serai buluh ini belum banyak ditanam mahupun di Kelantan.

“Apa yang KADA buat ialah menanam serai ini bagi membiakkannya seperti di sekolah-sekolah, orang kampung, orang ramai boleh menanam atas tali air KADA yang luas dan masih kosong.

“Kita beri kemudahan mesin bajak yang kecil dan kemudahan-kemudahan lain seperti baja serta teknik penanaman. Kita bagi hak-hak penanaman di tali air secara percuma.

Husam turut mengakui ada usaha-usaha kecil-kecilan tetapi tidak ada integrasi pengeluaran serai buluh secara komprehensif.

“Kenapa serai yang saya promosi kerana serai adalah hak semua orang atau demokrasi. Setiap orang boleh tanam di rumah, cikgu boleh ajak anak murid tanam di sekolah, penjara kita ada banyak tanah-tanah kosong banduan boleh tanam serai dalam kawasan penjara dan boleh dijual atau diedarkan di mana-mana seluruh negara bukan mesti beli dengan KADA, semua orang boleh buat di Johor, Selangor atau di mana-mana,” katanya.

Selain kulit luar serai dijadikan straw, katanya, kulit dalam serai boleh diusahakan menjadi teh serai, abstrak minyak serai bahkan kajian menunjukkan serai boleh mengubati berpuluh-puluh penyakit.

Husam berkata, beliau mengambil usaha kecil ini bagi menyedarkan semula kedudukan ancaman straw plastik kepada alam sekitar pada hari ini kerana negara ini sahaja telah mengeluarkan 31 juta straw plastik setiap hari.

Mengikut statistik menjelang tahun 2025 bilangan straw plastik dalam laut lebih banyak daripada ikan dan mengambil masa paling kurang 200 tahun untuk lupus.

“100,000 hidupan laut mati setiap tahun, boleh menyebabkan kepanasan serta peningkatan suhu laut.” katanya.