Malaysia Dateline

Kada cadang bina kilang proses jerami, sisa kelapa sawit

Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (Kada) bercadang membina kilang memproses jerami dan sisa kelapa sawit untuk dijadikan dedak kepada ternakan dalam usaha meningkatkan industri ternakan di Kelantan.

Pengerusinya, Datuk Husam Musa berkata cadangan itu boleh memberi pendapatan sampingan kepada petani kerana selama ini jerami padi hanya dibakar dan ditinggal terbiar sehingga reput di sawah.

“Sisa kelapa sawit pula dieksport ke luar negara dengan harga yang rendah,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Seminar Insentif dan Bantuan Dalam Pertanian, Penternakan dan Produk Hiliran Kelantan 2019 di Universiti Teknologi Mara (UiTM) di sini, hari ini.

Husam yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kelantan berkata lebih mengecewakan, negara terbabit memproses sisa kelapa sawit yang diperoleh itu menjadi dedak sebelum dieksport semula ke negara ini untuk keperluan ternakan seperti lembu dan kambing dengan harga yang mahal.

“Secara tidak langsung projek (membina kilang memproses jerami dan sisa kelapa sawit) dapat mengekang kenaikan harga makanan ternakan selain penternak mendapat harga yang lebih rendah,” katanya.

Beliau berkata Kada akan memohon peruntukan daripada Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani berhubung cadangan itu dan optimis akan mendapat kelulusan berdasarkan objektifnya untuk mengatasi bahan terbiar dan memberi keuntungan kepada petani.

Selain itu, Husam berkata Kada juga akan bekerjasama dengan sebuah universiti di Jepun untuk melatih belia dan beliawanis bagi pemprosesan bahan makanan dalam tempoh terdekat.

Bahan makanan itu katanya termasuk jeruk, kuih-muih, aiskrim, hasil laut, pembungkusan dan jem buah-buahan terutama dokong, durian serta rambutan yang sebelum ini tiada harga dan menjadi lambakan di pasaran tempatan pada setiap musim.

Beliau berkata pada peringkat permulaan pihaknya akan menghantar enam belia dan beliawanis bagi mengikuti kursus berkenaan.

— BERNAMA