Kada gerakkan koperasi majukan produktiviti industri pertanian

Kada gerakkan koperasi majukan produktiviti industri pertanian

Seorang peserta kursus ternakan itik Nurul Aslamiyah menerima sumbangan satu pakej ternakan dari ALP Kada Muhammad Husain.

Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (Kada) menyambut baik saranan menteri pertanian untuk menjadikan koperasi sebagai penggerak yang lebih efektif bagi memajukan sektor pertanian.

Ahli lembaga agensi berkenaan Ustaz Muhammad Husain berkata, langkah-langkah telahpun diambil untuk mengaktifkan koperasi-koperasi tani di kawasan liputan Kada.

“Kita sedang mengenal pasti untuk membantu koperasi-koperasi yang tidak aktif dan menggalakkan pengujudan koperasi-koperasi baru,” katanya ketika merasmikan majlis penutup kursus asas penternakan itik di Kubang Kerian petang semalam.

Keperluan koperasi katanya semakin mendesak untuk menaik taraf skala pertanian khususnya di negeri Kelantan.

“Usaha secara kecil-kecilan oleh individu telah terbukti tidak mampu untuk menampung keperluan permintaan hasil pertanian di negara ini.

“Kita lihat sahaja di pasar-pasar di negeri Kelantan ini, hampir semua produk-produk pertanian datangnya dari “seberang”, sedangkan produk-produk itu secara tradisi boleh dihasilkan di tempat kita.

“Sampaikan lada burung, ulam-ulaman, sayur-sayuran seperti terung, sawi, timun, bayam, kacang panjang hingga ke pucuk ketereh pun dibawa ke negara ini melalui jalan-jalan masuk di sempadan,” katanya.

Kursus sehari anjuran Koperasi Harapan Perdana Kelantan (Ko Perdana) dibuat dengan kerjasama KADA, Jabatan Veterinar, Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) dan sebuah NGO Pertubuhan Kebajikan Harapan Perdana Kelantan (Perdana Care).

Muhammad yang juga timbalan pengerusi AMANAH Kelantan berkata, dasar kerajaan baru dalam bidang pertanian akan memberi tumpuan kepada peningkatan produktiviti bertujuan menurunkan import dan menyediakan keluaran yang mampu bersaing di pasaran antarabangsa.

“Bagi merealisasikan keperluan ini, seluruh rakyat akan diberi ruang seluas-luasnya untuk bersama-sama menggerakkan peningkatan hasil pertanian.

“Di sini peranan koperasi amat penting untuk mengumpul dana dari mereka yang berkemampuan bagi disalurkan kepada ahli-ahli koperasi yang menggerakkan usahawan tani meluaskan aktiviti secara komersial,” katanya.

Kursus yang diadakan di ladang nukleus Ko Perdana itu melibatkan seramai 70 orang peserta.

Tiga puluh peserta dari kalangan asnaf menerima sumbangan pakej 20 ekor anak itik, makanan permulaan (starter) beserta sebuah bekas air dan bekas makanan.

Selain ceramah oleh pegawai veterinar berkaitan teknik penjagaan dan kesihatan ternakan itik, peserta turut mendapat latihan praktikal yang diselenggara sendiri oleh pengurus ladang Encik Harum Embong.

Ceramah kerohanian bertajuk Bicara Ekonomi Keluarga Rahmah turut disampaikan oleh Duta Rahmah Ustaz Haji Hashim Muhammad.