Malaysia Dateline

Kada, Yapeim wujudkan kerjasama pintar majukan petani

 

“Smart partnership” atau kerjasama pintar antara pelbagai agensi kerajaan dan pihak swasta amat penting bagi memajukan bidang pertanian.

Pihak Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (Kada) mengucapkan terima kasih kepada Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (Yapeim) yang berjaya menjadikan dua badan berkenaan merealisasikan konsep itu.

Pengerusinya, Datuk Husam Musa berkata selama ini Kada bersendirian dalam memajukan petani dalam kawasannya menyebabkan banyak perkara terutama berkaitan kebajikan penduduk tidak dapat ditangani dengan mantap.

“Hari ini saya bersyukur kerana pihak YaPEIM dapat mengadakan smart partnership (kerjasama pintar) dengan dengan kita bagi membantu golongan asnaf di kalangan unit-unit peladang Kada,” katanya ketika berucap merasmikan program Food Bank YaPEIM di dewan PPK Kubang Sepat, Pasir Mas pagi tadi.

Urusan utama (core business) Kada katanya menumpukan kepada pembangunan keusahawanan dalam industri padi atau aktiviti sampingan lain dalam bentuk perniagaan dan pengeluaran pertanian komersil.

“Dalam hal kebajikan kita mungkin terlepas pandang sedangkan sepatutnya perkara ini juga penting bagi menjamin semua segmen masyarakat dapat menjalani kehidupan tanpa sebarang masalah,” katanya.

Inisiatif Yapeim untuk turut membantu penduduk dalam menghadapi situasi musim tengkujuh ini katanya amat bertepatan keperluan rakyat.

“Sumbangan seperti ini adalah satu bentuk amal soleh kerana menyburkan sifat kasih sayang sesama manusia,” katanya.

Bercakap kepada media selepas majlis itu beliau memuji langkah perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang mengambil peluang melawat ladang tenusu dalam lawatannya ke Doha, Qatar.

“Kada ingin mengambil kesempatan mencadangkan juga seperti model di Doha itu supaya mengagihkan lembu tenusu mengikut mukim-mukim seperti mana yang diamalkan di Thailand.

“Dengan cara itu setiap mukim ada bekalan susu segar untuk murid sekolah dan penduduk kampung,

“Bekalan susu berlebihan boleh dikumpulkan untuk dijadikan produk seperti aiskrim, mentega dan lain lain lagi.

Abdullah Junoh menerima sumbangan Food Bank dari Datuk Husam Musa

Dengan cara ini penduduk kampung boleh dimajukan dengan penternakan lembu susu ini danpenduduk kampung juga akan mendapatkan bekalan susu secara lebih mudah untuk keluarga dan pelajar-pelajar sekolah,” katanya.

Dalam lawatan ke Doha dua hari lalu, Perdana Menteri diberi taklimat oleh Anggota Lembaga dan Pengarah Urusan syarikat tenusu Baladna, Ramez Al-Khayyat, serta dibawa melawat operasi syarikat itu yang merupakan salah satu ladang ternakan lembu terbesar di negara Asia Barat, dengan keluasan menjangkau lebih 2.4 juta meter persegi.

Turut mengiringi perdana menteri dalam lawatan itu adalah Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah, Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu.

Turut hadir di program Food Bank adalah Ahli Lembaga Pemegang Amanah YaPIEM Puan Hajah Rohana Kamaruddin , Pengurus Yapeim Kelantan Nik Mohd Nurul Ihsan, Timbalan Pengurus Besar Pembangunan Kada Mat Naji Abdullah,