Malaysia Dateline

Kadar ASB rendah, kerajaan lemah?

ULASAN: Riuh rendah hari ini apabila Yang Berbahagia Tan Seri Zeti Akhtar Aziz yang kita semua kenali beliau sebelum ini menjawat jawatan Gabenor Bank Negara.  Beliau yang terbukti mempunyai rekod yang sangat baik ketika menguruskan bank negara.
Pengalaman beliau yang luas selama ini sangat diperlukan dalam membina Malaysia baharu.

Tidak dinafikan apabila kadar ASB pada tahun 2019 ini agak rendah berbanding tahun sebelumnya mengundang resah dan kurang senang kepada pelabur yang rata rata dikalangan orang bumiputera melayu.

Ada yang menaruh harapan apabila mereka memilih untuk berkerajaan baru selain BN maka dividen diatas pelaburan mereka naik atau sekurang kurangnya kekal sama seperti 2 tahun sebelum ini.

Kepada mereka yang telah membuat pinjaman bank komersial untuk melabur mereka agak terkesan dimana sebelum ini mereka menggunakan dividen ini untuk membayar semula pinjaman.

Dengan kadar 5% mereka terpaksa mengeluarkan duit poket sendiri untuk membayar pinjaman yang telah dibuat.

Saya tidak menafikan apabila isu ini terjadi ia menyebabkan ketidakselesaan rakyat terutama keterbiasaan rakyat menerima dividen yang tinggi.

Sudahlah sebelum ini hibah Tabung Haji juga merudum kini ASB yang terkenal dengan imbuhan dividen yang tinggi juga turun merudum.

Apakah ini adalah kelemahan urus tadbir atau ketidakmampuan kerajaan memberi faedah kepada pencarum?

Seperti yang telah dimaklumkan oleh YAB Perdana Menteri Tun Mahathir Mohd sebelum ini. Waktu bersenang lenang rakyat telah pun habis, kini masanya rakyat bersama kerajaan membina semula negara.

Kerajaan mengurus, rakyat membantu.

Pada hemat saya, apa yang dimaklumkan oleh kerajaan berkenaan dividen ini adalah langkah membina semula negara.
Jangka pendek dan juga jangka panjang.

Sebelum itu kita perlu sedar dan pegang asbab kenapa rakyat membuat peralihan kuasa? kerana ketidakyakinan rakyat kepada pengurusan negara oleh pimpinan BN ketika itu.

Eh zaman BN kan dividen ASB tinggi? Kenapa pulak rakyat tidak yakin dengan BN? Atas sebab itulah Pakatan Harapan sering melaungkan slogan Malaysia Baharu. Bina semula negara.
Ini asas yang perlu kita fahami dahulu sebelum berbicara lanjut.

ASB adalah sebuah agensi pelaburan yang diiktiraf dan dijamin oleh kerajaan Malaysia. Maknanya apa apa terjadi duit pelabur dijamin oleh kerajaan. Duit pelaburan yang dilaburkan dan berada didalam kantung ASB adalah dijamin oleh kerajaan.

Jika berlaku apa apa kerajaan akan bertanggungjawab. Asasnya ialah, duit yang dilaburkan selamat.

Tetapi nilai dividen kepada pelabur tidak dijamin naik dan turunnya. Mana mungkin pelaburan yang diniagakan sentiasa untung tinggi.

Saham judi dan arak kekal tinggi

Setahu saya hanya saham yang berkaitan dengan judi dan arak sahaja yang kekal tinggi dan tak pernah turun. Pelaburan selain itu adakalanya turun adakalanya naik bahkan ada yang rugi.Biasalah didalam perniagaan.

Jika berniaga sentiasa untung tinggi nescaya tidak ada yang mahu makan gaji. Semuanya berniaga. Maka jika dipegang asas perniagaan adanya untung adanya rugi maka kita lebih faham dan mengerti apa yang terjadi pada hari ini.

Saya berikan anologi mudah tanpa melibatkan teknikal supaya mudah difahami.Sekurang kurangnya pelaburan kita didalam ASB itu tidak rugi dan masih untung walaupun rendah.

Cuma implikasi kepada pelabur yang membuat pinjaman bank yang akan merasai kesulitan.
Nama pun pelaburan dan secara lansung kita menanam modal untuk diniagakan.

Ada yang guna duit sendiri untuk berniaga ada yang meminjam untuk berniaga. Kaedah biasa. Yang tak biasanya dividen ASB rendah!

Keperluan untuk kita merancang pembiayaan sangat perlu. Sebelum cair dengan hasutan agen pemasaran bank kita perlu merancang supaya pinjaman itu dapat dibayar balik dan kita mendapat untung.

Jangan mudah membuat pinjaman dan tidak menilai kemampuan jika terjadi apa apa yang tidak diinginkan.

Kerajaan boleh sahaja membuat kaedah lain dan ‘gila’ seperti apa yang telah dilakukan oleh Kerajaan BN dahulu.

Buat pinjaman berbillion dan gunakan untuk memberi keuntungan tinggi kepada pelabur. Ya rakyat senyum lebar menerima dividen tinggi tetapi lupa hutang negara bertambah. Nilai matawang menyusut dan tidak kuat. Negara tidak akan merasa akibatnya diawal tetapi dimasa akan datang negara akan lemas dengan hutang yang tinggi.

Seperti kita juga, dek kerana nak bergaya, hidup dilihat senang pinjaman keliling pinggang. Ya ketika membuat pinjaman kita senyum lebar tetapi apabila sampai masa untuk membayar balik jika tidak mampu untuk diurus makan pun belum tentu berselera.

Samalah seperti negara kita.
Negara tidak boleh dan mustahil tidak mempunyai hutang tetapi mestilah didalam keadaan terkawal dan mampu diurus.

Kelembapan ekonomi dunia juga memainkan faktor besar kepada negara membangun seperti malaysia. Trade war antara china dan Amerika menyebabkan harga komoditi tidak menentu dan pasaran saham juga terumbang ambing. (Kecuali saham yang tidak patuh syariah seperti judi dan arak.)

Maka kerajaan perlu mengambil langkah berhati hati agar kelembapan ekonomi dunia tidak menjejaskan negara dengan maksima.

Saya berkeyakinan, dalam tempoh setahun dua lagi keadaan ekonomi negara akan pulih. Kerja kuat pimpinan negara dan ketelusan didalam mentadbir akan membuahkan hasil.

Kita sebagai rakyat perlu sentiasa rasional ketika berhadapan dengan sesuatu isu.Ya kita berseronok sebelum ini melabur tetapi kita seakan terlupa yang kita hanya melabur dan pelaburan kita terjamin. Dividen bergantung kepada keupayaan dan tidak bermain silap mata seperti yang berlaku kepada TH sebelum ini dimana hibah yang tinggi diberikan tetapi menggunakan duit pendeposit!.Sangat tidak beretika.

Bukan bermakna apabila kita melabur di agensi pelaburan kerajaan maka dividen juga dijamin oleh kerajaan dengan kadar yang tinggi.

Kita tunggu dan lihat pula keadaan pada tahun hadapan dan seterusnya. Apakah kekal rendah atau ada kenaikan.

Apapun bergantung kepada keadaan ekonomi negara dan berhubung kait rapat dengan persekitaran ekonomi global.

Dengan segala permasalahan yang ada pada hari ini samada dibidang ekonomi dan pentadbiran negara menuntut kerja kuat para pentadbir negara dan rakyat sentiasa memberi sokongan kepada usaha kerajaan.

Skandal mega yang melibatkan billion ringgit dana negara wajib dipastikan tidak berlaku lagi dan dimasa yang sama segala permasalahan yang ditinggalkan oleh kerajaan yang lama wajib juga diperbaiki dan ia bukan tugas yang mudah.

Itulah yang rakyat harapkan. Tanpa suara kebangkitan rakyat mustahil BN mampu diturunkan dan itulah hajat majoriti rakyat malaysia yang mahukan pembaharuan dan bina semula negara. Jangan muncul lagi 1mdb yang kedua yang mampu merosakkan persekitaran ekonomi negara.

*Penulis adalah Naib Ketua Pemuda AMANAH Nasional