Malaysia Dateline

Kadar baharu bayar PTPTN mulai 1 Januari, kata Maszlee

Kadar baru pembayaran semula iaitu dua peratus atau RM40 bagi peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) berpendapatan RM2,000 hingga RM2,500 akan bermula 1 Januari 2019.

Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik berkata, kadar pembayaran itu akan meningkat seiring dengan kenaikan gaji mereka.
“Buat masa ini kita meletakkan RM2,000 sebagai nilai ambang untuk permulaan pembayaran dengan pembayaran ialah RM40. Kemudian ianya akan meningkat berdasarkan pendapatan mereka.

“Dan kita akan berusaha pada tahun ke hadapan jikalau keadaan kewangan kerajaan pulih, kita akan cuba tunaikan janji (Manifesto Pakatan Harapan) yang meletakkan RM4,000 sebagai nilai ambang. Tetapi buat masa ini yang terbaik kami boleh lakukan ialah letak RM2,000 sebagai nilai ambang,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, hari ini.

Bagi peminjam di bawah kategori RM2,000 – RM2,500 yang sudah pun memulakan pembayaran balik, Maszlee berkata, mereka juga boleh melakukan penstrukturan semula mengikut kadar baharu itu.

“Tetapi kalau nak bayar lebih pun itu akan membantu mereka untuk mengurangkan (kadar pinjaman) dengan lebih cepat,” katanya lagi, lapor Astorawani.