Malaysia Dateline

Kadar cukai taksiran harta Melaka kekal tahun hadapan

Kerajaan Negeri tidak akan menaikkan kadar cukai taksiran ke atas pegangan harta di seluruh kawasan pentadbiran pihak berkuasa tempatan (PBT) negeri ini tahun hadapan,  Persidangan Dewan Undangan Negeri Melaka diberitahu hari ini.

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar Melaka, Datuk Tey Kok Kiew berkata meskipun langkah itu menyebabkan PBT tidak memperoleh pendapatan tambahan, namun ia dapat mengurangkan beban dihadapi rakyat negeri ini.

Justeru beliau berkata Kerajaan Negeri berharap agar penduduk negeri ini dapat menunaikan tanggungjawab mereka dengan menjelaskan cukai taksiran harta mereka tahun ini sebelum tarikh akhir 31 Dis ini.

“Kerajaan terdahulu menggunakan kaedah ‘capping’, iaitu mengawal kenaikan kadar taksiran menggunakan kaedah nilai sewaan kepada nilai semasa hingga menyebabkan banyak kenaikan berlaku.

“Buat perniagaan ‘capping’ dikenakan sebanyak 30 peratus. Oleh itu kadar cukai akan dinaikkan pada tahun hadapan (sekiranya kerajaan terdahulu masih mentadbir),” katanya.

Tey berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Datuk Md Rawi Mahmud (BN-Kuala Linggi) sama ada Kerajaan Negeri merancang untuk menaikkan kadar cukai taksiran harta di Kompleks Seri Negeri, Ayer Keroh di sini hari ini.

Beliau, yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Banda Hilir ,berkata kadar yang dikenakan itu mungkin berubah mengikut keadaan ekonomi semasa.

“Sekiranya kita telah membuat penjimatan dan berbelanja secara berhemah, namun pendapatan tidak dapat menampung perbelanjaan, maka kita akan mengkaji semula kadar cukai, namun pada masa sama memastikan kenaikan itu tidak membebankan rakyat,” katanya.

Melaka mempunyai empat PBT iaitu Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah, Majlis Perbandaran Jasin, Majlis Perbandaran Alor Gajah dan Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya,

— BERNAMA