Malaysia Dateline

Kadar defisit negara dijangka melonjak bukti dakwaan PH benar

Kenyataan terbaru Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz bahawa kadar defisit negara akan melonjak hampir sekali ganda jelas membuktikan apa yang didakwa Pakatan Harapan (PH) selama ini adalah betul.

Demikian dinyatakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri Permatang Pasir, Faiz Fadzil.

Menurut beliau, akibat pengurusan fiskal negara yang tidak cekap ketika pemerintahan Barisan Nasional (BN) di bawah pentadbiran Datuk Seri Najib telah menyebabkan hutang negara melebihi RM1 trillion dan Malaysia tidak lagi mempunyai kemampuan fiskal yang cukup untuk menanggung kos pakej rangsangan ekonomi baru-baru ini.

“Defisit akan melonjak melebihi 6 peratus dan akibatnya, kerajaan akan terpaksa berhutang dengan lebih banyak untuk mendanai Pakej Rangsangan Ekonomi termasuk Pakej Ransangan Ekonomi Prihatin Rakyat(Prihatin), Prihatin PKS dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara(Penjana) yang mana jumlah keseluruhan suntikan terus kerajaan adalah RM45 bilion.

“Dalam keadaan tersebut langkah-langkah yang telah diambil oleh kerajaan PH sebelum ini telah membantu memulihkan keberhutangan negara, terutamanya dalam mengurangkan liabiliti yang sebelum ini disembunyikan oleh BN daripada penyata imbangan atau off -balance sheet dan ini membantu memberikan ruang kepada kerajaan pada ketika ini untuk meminjam bagi tujuan perbelanjaan negara dan pakej rangsangan ekonomi.

“Usaha keras PH membawa pulang wang 1MDB yang diseleweng juga diharap dengan membantu mengukuhkan kedudukan fiskal negara ketika ini, selain langkah penjimatan projek mega termasuk ECRL, LRT3, MRT2 KVDT2 dan pelbagai projek infrastruktur lain berjumlah RM47 bilion, malahan usaha kerajaan PH sebelum ini untuk mengurangkan beban hutang negara juga telah membuahkan hasil dimana kadar hutang dan liabiliti Malaysia berbanding KDNK telah jatuh kepada 75.4 peratus pada tahun 2018 serta pada tahun 2017 kadar ini adalah lebih tinggi iaitu 79.3 peratus, ” jelasnya.

Tambahnya, apa yang membimbangkan adalah dengan jangkaan defisit 6 peratus tersebut, negara pada masa hadapan akan terdedah kepada bayaran faedah yang lebih tinggi kerana jumlah hutang yang akan meningkat dibawah kerajaan PN dan ini akan memberikan impak yang cukup besar bukan sahaja pada tahun ini, tetapi juga pada tahun-tahun yang akan datang.

Oleh itu tegas beliau, kerajaan PN perlu membentangkan kaedah mendanai pakej rangsangan ekonomi di Parlimen supaya ia dapat dibincangkan secara terbuka dan disemak imbang secara tuntas.

Katanya lagi, impak terhadap kadar hutang negara juga harus dibincangkan dan bagi mengelak PN mengulangi taktik BN menyembunyikan hutang negara dalam bentuk off-balance sheet.

Tegas beliau, sekiranya ini berlaku, negara akan menanggung lebih banyak yang pastinya akan menambah beban rakyat yang sudah terkesan teruk akibat kos sara hidup dan kehilangan pekerjaan yang semakin meningkat.