Kadar GST hanya sifar bermula 1 Jun

Kadar GST hanya sifar bermula 1 Jun

Tular di media sosial kononnya cukai barangan dan perkhidmatan (GST) telah dihapuskan kerajaan Pakatan Harapan (PH) sejurus selepas mengambil alih pentadbiran negara.

Ramai juga beranggapan cukai regresif itu tidak lagi tertera di resit pengeluaran ATM apabila menggunakan perkhidmatan MEPS.

Mungkin ada yang terlepas pandang bahawa GST hanya akan berkuat kuasa pada kadar sifar mulai Jun akan datang.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada 16 Mei lalu mengarahkan kerajaan supaya menghentikan kutipan GST dan menetapkan harga petrol.

“Arahan telah diberi supaya kita tidak kutip GST lagi, dan kita akan cuba bayar balik kepada mereka yang membuat tuntutan,” katanya pada sidang akhbar di Yayasan Kepimpinan Perdana.

Tun Mahathir pada masa yang sama berkata kerajaan tidak lagi mengamalkan pelarasan harga mingguan minyak seperti yang dilakukan oleh kerajaan sebelumnya.

“Tak ada naik turun (lagi), present state will stay (harga sekarang kekal), kalau ada tak cukup, kerajaan akan subsidi,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Kementerian Kewangan telah mengeluarkan kenyataan bahawa berkuatkuasa 1 Jun 2018, cukai GST yang dikenakan pada kadar 6% akan dikurangkan pada kadar 0%.

“Langkah pengenaan GST pada kadar sifar ini berkuatkuasa mulai 1 Jun 2018 dan terpakai di seluruh negara sehingga dimaklumkan kelak.

“Penetapan tersebut tidak meliputi barang dan perkhidmatan yang disenaraikan di Perintah Cukai Barang dan Perkhidmatan (Pembekalan Dikecualikan) 2014 yang kekal dikecualikan dari GST,” kata Kementerian Kewangan dalam kenyataan.

Kementerian juga mengingatkan bahawa peniaga perlu memastikan harga barang dan perkhidmatan yang ditetapkan mematuhi Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 setiap masa.

Pemansuhan GST perlu dibawa ke Dewan Rakyat untuk mendapat kelulusan.

8.0
OVERALL SCORE
: 8.0
Have no any user vote
CATEGORIES
TAGS