Kadar jenayah Dun Bukit Tengah berjaya dikurangkan

Kadar jenayah Dun Bukit Tengah berjaya dikurangkan

Kadar jenayah di Bukit Tengah telah berjaya dikurangkan sebanyak 17.38 peratus pada tahun 2018 jika dibandingkan dengan tahun 2017.

Demikian dinyatakan oleh Adun Bukit Tengah, Gooi Hsiao Leung selepas menemui anggota Balai Polis Bukit Tengah kelmarin.

Malah katanya lagi, penurunan kadar jenayah tersebut adalah suatu perkembangan yang positif.

“Taklimat ringkas yang diberikan menunjukan bahawa kes jenayah kekerasan telah menurun sebanyak 22.3 peratus.

“Kes jenayah harta benda pula turut menurun sebanyak 16.2 peratus pada masa yang sama.

“Ini membuktikan kesungguhan pihak berkuasa untuk menangani masalah ini agar ia terus menurun dari masa ke semasa, ” jelasnya.

Selain itu kata Gooi lagi, walaupun dengan hanya kekuatan 62 anggota polis, khidmat kepada 203,200 penduduk di kawasan Bukit Tengah tetap diberi perhatian serius.

Namun begitu ujarnya, beberapa perubahan perlu dilakukan termasuk penambahan jumlah anggota kerana keluasan pentadbirannya adalah seluas 57.6 kilometer persegi.

“Status pengredan Balai Polis Bukit Tengah wajar dinaikkan dari Gred C kepada Gred B.

“Dengan penambahan gred ini, ia akan membolehkan jumlah anggota ditingkatkan sehingga melebihi 100 anggota.

“Jumlah penduduk melebihi 203,000 adalah suatu angka yang besar bagi kawasan Bukit Tengah, ” tegasnya.

Sehubungan itu katanya, masalah infrastruktur serta kemudahan yang terdapat di Balai Polis Bukit Tengah, Balai Polis Komuniti dan Pondok Polis dalam kawasan tersebut perlu diberi perhatian serius.