Kadar jenayah di Negeri Sembilan turun 7.43 peratus atau 295 kes kepada 3,675 kes pada tahun lepas berbanding 3,970 kes pada tahun 2017.
Ketua Polis Polis Negeri Sembilan, DCP Datuk Noor Azam Jamaludin berkata indeks Jabatan Siasatan Jenayah bagi tahun lepas mencatatkan sebanyak 62.67 peratus kadar penyelesaian kes telah dicapai, melepasi Indeks Petunjuk Prestasi (KPI) yang ditetapkan iaitu 45 peratus.
“Jabatan Siasatan Jenayah dan Penguatkuasaan Trafik pula mencatatkan jumlah kemalangan trafik sebanyak 25,033 kes pada tahun lepas berbanding 24,941 kes pada tahun sebelumnya, iaitu peningkatan sebanyak 92 kes.
“Statistik tangkapan samseng jalanan di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 juga mencatatkan sebanyak 152 kes dalam tempoh yang sama berbanding 33 kes pada tahun 2017, di mana ???????tangkapan mereka yang berumur antara 15 hingga 20 tahun mencatatkan yang tertinggi iaitu sebanyak 90 kes,” katanya kepada media selepas Majlis Perhimpunan Bulanan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri di sini, hari ini.
Noor Azam berkata jumlah saman yang telah dikeluarkan atas pelbagai kesalahan bagi tempoh yang sama tahun 2018 adalah 225,360 saman berbanding tahun 2017 sebanyak 107,863 saman, meningkat sebanyak 91 peratus.
Beliau berkata Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik pula pada tahun lepas telah menangkap pembekal dadah seramai 802 pesalah berbanding 735 orang bagi tahun 2017, iaitu peningkatan sebanyak sembilan peratus atau 67 orang.
Sementara itu, seramai 19 orang yang terdiri daripada pegawai kanan, pegawai rendah polis dan pegawai awam menerima Sijil Penghargaan Ketua Polis Negeri Sembilan.
— BERNAMA