Malaysia Dateline

Kadar kebolehjangkitan Covid-19 kembali meningkat

Kadar kebolehjangkitan (Rt) Covid-19 berada pada nilai 0.94 semalam sekali gus menjadi angka tertinggi menyamai rekod pada 27 Februari lalu.

Berdasarkan data dikongsi Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, di Facebook hari ini, nilai Rt meningkat sejak 18 Mac lalu.

Nilai Rt merujuk kepada kebolehjangkitan sesuatu virus iaitu berapa ramai individu yang boleh dijangkiti oleh satu kes positif, dengan semakin rendah nilai itu, semakin kurang kemungkinan jangkitan bagi setiap kes positif.

Contohnya, jika nilai Rt adalah 1.5, ia bererti satu kes positif boleh menyebarkannya kepada seorang atau dua orang lain.

Dr Noor Hisham Abdullah

Data dikongsi Dr Noor Hisham juga menunjukkan kadar kebolehjangkitan di Wilayah Persekutuan Labuan adalah tertinggi berbanding negeri lain apabila mencatat nilai Rt 1.15.

Enam negeri lain yang menunjukkan nilai melebihi Rt nasional iaitu Kedah (1.14), Pulau Pinang (1.12), Melaka dan Terengganu masing-masing 1.07, Sarawak (1.01) dan Kelantan (0.97).

Tujuh negeri lagi mencatat Rt kurang berbanding nilai nasional iaitu Kuala Lumpur 0.90), Selangor (0.89), Sabah (0.88), Johor (0.77), Perak (0.70), Pahang (0.67) dan Negeri Sembilan (0.66).

Dua negeri lagi iaitu Perlis dan Wilayah Persekutuan Putrajaya merekodkan nilai Rt sifar kerana tiada kes baharu.