Kadar kelahiran bayi di Korea Selatan merosot 8.7 peratus pada Jun

Kadar kelahiran bayi di Korea Selatan merosot 8.7 peratus pada Jun

Angka kelahiran di Korea Selatan merosot sebanyak 8.7 peratus pada Jun berbanding tahun lalu berdasarkan data kerajaan pada Rabu, dalam perkembangan terkini berkaitan isu kadar kelahiran rendah berterusan yang menyelubungi negara ekonomi keempat terbesar Asia itu lebih sedekad, lapor agensi berita Yonhap.

Data yang dikumpul Statistik Korea itu menunjukkan bahawa sejumlah 24,051 bayi dilahirkan pada Jun berbanding 26,357 dalam tempoh sama bagi tahun 2018.

Ini merupakan jumlah kelahiran paling rendah dilaporkan pada bulan Jun sejak 1981, yang menyaksikan agensi statistik mula mengumpul data berhubung kelahiran bayi secara bulanan.

Jumlah kelahiran di Korea Selatan merosot kepada 326,822 pada 2018 berbanding angka paling tinggi sebanyak sejuta yang dicatat pada 1970, menurut agensi statistik itu, dalam satu peralihan demografi yang mendadak.

Tahun lepas, kadar kesuburan keseluruhan Korea Selatan — jumlah purata bayi yang dilahirkan setiap wanita sepanjang hayatnya — mencecah angka paling rendah iaitu 0.98, lebih rendah berbanding tahap penggantian 2.1 yang membolehkan populasi Korea Selatan stabil pada jumlah 51 juta.

Pada 2017, kadar kesuburan keseluruhan Korea Selatan mencecah 1.05, paling rendah dalam kalangan Pertubuhan bagi Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan, satu kumpulan yang dianggotai 36 negara paling kaya yang menyaksikan kadar kesuburan keseluruhan ialah 1.65.

Kemerosotan kelahiran bayi berlaku kerana sesetengah generasi muda Korea Selatan memilih untuk menjauhkan diri mereka daripada tiga pencapaian utama hidup — bertemu janji, berkahwin dan mempunyai anak — kerana mereka gagal mendapat pekerjaan yang stabil susulan kelembapan ekonomi yang berlanjutan.

Faktor lain ialah kos tinggi pendidikan swasta bagi kanak-kanak dan harga rumah yang begittu tinggi selain kesukaran wanita mencari pekerjaan selepas berhenti kerja dan meluangkan masa untuk menjaga anak mereka.

Jumlah yang mengikat tali perkahwinan ialah sebanyak 17,946 pada Jun, angka paling rendah bagi bulan sama sejak 1981.– BERNAMA