Malaysia Dateline

Kadar Omicron merebak luar biasa cepatnya, kata WHO

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang berpusat di Geneva, memberi amaran varian baharu Omicron merebak pada kadar yang tidak pernah berlaku sebelum ini.

Oleh itu, WHO menggesa semua negara bertindak segera termasuk mendapatkan ubat yang didakwa Pfizer berkesan terhadap varian itu, lapor AFP.

Sekolah rendah di Belanda akan ditutup lebih awal ketika Eropah bergelut dengan gelombang baru jangkitan dan peningkatan kemasukan ke hospital, manakala Perdana Menteri Britain, Boris Johnson berhadapan ujian utama di Parlimen yang berusaha mengenakan sekatan baharu di negara itu.

Omicron, pertama kali dikesan di Afrika Selatan dan dilaporkan kepada WHO pada 24 November lalu menunjukkan mutasi besar, memberi amaran baharu ancaman COVID-19 kepada dunia.

Data awal menunjukkan varian baharu ini tahan terhadap vaksin dan lebih mudah merebak daripada varian Delta, yang pertama kali ditemui di India dan menyumbang sebahagian besar kes COVID-19 di dunia.