Kadar OPR tidak berubah memang dijangka – Pakar ekonomi

Kadar OPR tidak berubah memang dijangka – Pakar ekonomi

Keputusan Bank Negara Malaysia (BNM) untuk  mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 3.25 peratus adalah dalam jangkaan pasaran, kata seorang pakar ekonomi yang menyifatkan langkah itu akomodatif bagi pertumbuhan.

Penganalisis penyelidikan FXTM, Lukman Otunuga berkata trajektori pertumbuhan Malaysia bagi 2019 dijangka kukuh walaupun pada tahap lebih sederhana.

“Ketegangan perdagangan antara Amerika Syarikat dan  China ditambah dengan kelembapan ekonomi di  China adalah faktor utama yang dapat memberi kesan terhadap prospek pertumbuhan Malaysia.

“Sekiranya risiko terhadap ekonomi Malaysia menjadi semakin ketara, BNM mungkin mempunyai alasan kukuh untuk menyelaraskan pendaras kadar faedah untuk memastikan ia adalah pendirian dasar kewangan yang akomodatif,” katanya dalam nota.

Dalam kenyataan mengenai dasar monetari terbaru itu, bank pusat menegaskan bahawa risiko terhadap pertumbuhan dijangka meningkat, bagaimanapun, Otunuga berkata peningkatan risiko itu akan dapat dikekang oleh asas kukuh ekonomi domestik.

Pakar ekonomi RHB  Vincent Loo Yeong Hong yang turut sependapat dengan sentimen itu berkata keputusan BNM untuk mengekalkan OPR bukan sesuatu yang mengejutkan bagi pemain pasaran.

“Sungguhpun kelihatan ada ruang bagi kelonggaran dasar, ditengah-tengah usaha untuk menangani inflasi dan persekitaran pertumbuhan perlahan, kami berpendapat kadar faedah pada paras ini kekal akomodatif dan akan membantu melancarkan aliran keluar modal dan memastikan kestabilan ringgit,” katanya.

Dalam kenyataan awal hari ini,  BNM, yang mengadakan mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) yang pertama pada tahun ini, mengumumkan OPR akan dikekalkan pada 3.25 peratus, menyatakan tahap akomodatif dasar monetari sejajar dengan pendirian dasar yang ditetapkan.

Bagaimanapun, MPC akan terus memantau dan menilai imbangan risiko yang menyelubungi prospek pertumbuhan domestik dan inflasi.

— BERNAMA