Kadar penghunian pusat beli-belah MyTOWN dijangka cecah 95 peratus

Kadar penghunian pusat beli-belah MyTOWN dijangka cecah 95 peratus

Boustead Ikano Sdn Bhd yakin kadar penghunian pusat beli-belah MyTOWN di sini, akan meningkat kepada 95 peratus menjelang Mei depan berbanding 92 peratus pada masa ini walaupun berdepan persaingan sengit daripada pusat beli-belah lain.

Boustead Ikano merupakan usaha sama antara Boustead Holdings Bhd dan Ikano Retail Asia manakala MYTOWN dibangunkan oleh Boustead Holdings dan Ikano Pte Ltd.

Pengurus Boustead Ikano Centre  Mohd Azhan Che Mat berkata syarikat itu juga kini dalam proses meneliti beberapa lagi urus niaga dengan penyewa baharu manakala penyewa sedia ada kekal di premis masing-masing sehingga sewaan mereka diperbaharui pada 2020.

Beliau berkata, walaupun MyTOWN tidak sebesar Pavilion Kuala Lumpur atau menawarkan ruang pejabat sepertimana Sunway Velocity Mall dan EkoCheras Mall serta bakal berdepan saingan Tun Razak Exchange pada 2020, ia sebaliknya bernasib baik berikut kehadiran gedung perabot dan kelengkapan rumah terkemuka, IKEA sebagai penyewa utama yang turut menjadi rangkaian perabot terbesar di ibu negara.

“Kami mempunyai kira-kira 15 penyewa yang menawarkan produk khusus yang dijual untuk pertama kalinya di pusat beli-belah selain restoran seperti Gajah Mada, Makmal Burger dan Monster Mighty.

“Pusat beli-belah ini turut memiliki tarikan VAR Live Malaysia yang merupakan taman tema realiti maya (VR) terbesar di Malaysia dan EnerG X Park iaitu taman ekstrem dalaman terbesar di Asia.

“Anda tidak dapat menemui tarikan itu di pusat beli-belah lainnya. Ini yang menjadikan kami unik di mata para pelanggan,” katanya kepada Bernama.

Mohd Azhan berkata jualan di pusat beli-belah itu juga dijangka meningkat antara 22 hingga 25 peratus tahun ini, seiring dengan pertambahan jumlah kehadiran pelanggan individu yang bertambah sebanyak 45 peratus pada suku keempat 2018 berbanding suku kedua dan ketiga.

Beliau berkata, MyTOWN turut menyasarkan kenaikan 10-12 peratus lagi jumlah kehadiran pelanggan individu kerana lokasinya yang berhampiran dengan stesen Aliran Transit Massa (MRT) Cochrane selain peningkatan aktiviti pengiklanan pada gerabak MRT.

Mohd Azhan bagaimanapun tidak mendedahkan nilai jualan yang dicatat pada tahun lepas.

Mengulas sentimen pengguna berikutan kenaikan harga produk dan perkhidmatan, beliau menyifatkan aspek itu sebagai sesuatu yang sukar dielak.

Namun, beliau yakin 2019 bakal menjadi tahun lebih baik bagi segelintir pelanggan berikutan berakhirnya ketidaktentuan tertentu seperti pilihan raya umum selain pelaksanaan semula Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang dilihat lebih stabil.

“Pengguna hari ini mempunyai lebih banyak pilihan memandangkan wujudnya lebihan penawaran pusat beli-belah pada masa ini. Di pihak kami, cabaran itu akan terus ditangani dengan mengekalkan keunikan sedia ada, menganjurkan acara istimewa serta memastikan kualiti kemudahan terus terjamin bagi menarik kehadiran pelanggan,” katanya.

Mohd Azhan juga menasihati peruncit yang mahu kekal relevan dalam pasaran untuk sentiasa memastikan produk dan perkhidmatan masing-masing menepati pasaran yang disasarkan selain perlu seiring dengan pemasaran digital.

“Sejajar usaha ke arah pendigitalan, peruncit sekarang perlu memiliki aplikasi mudah alih masing-masing. Mereka perlu memahami aspek demografi penduduk, pasaran yang disasarkan serta siapa rakan niaga dalam usaha memajukan perniagaan,” katanya.

Bersempena sambutan Tahun Baru Cina kali ini, MyTOWN akan menganjurkan acara persembahan dikenali ‘Rhythm of Spring’ yang disertakan pelbagai aktiviti mulai 18 Januari lepas sehingga 19 Februari ini.

Ini termasuk penganjuran acara Pertandingan Miss Little Peony khusus bagi budak perempuan berusia 5-10 tahun yang menawarkan hadiah bernilai sehingga RM3,000.

MyTOWN mempunyai kira-kira 250 penyewa dengan lebih 400 kedai selain ruang sewaan seluas 102,193 meter persegi.

— BERNAMA