Kadar pH tanah sawah perlu dikaji, kata calon Dun Tokai

Kadar pH  tanah sawah perlu dikaji, kata calon Dun Tokai

 

Calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi N18 Tokai di Kedah, Firdaus Jaafar berkata, kadar keasidan dan kealkalian (pH) tanah sawah di kawasan itu memerlukan kajian lebih terperinci.

Menurut bekas Ahli Parlimen Jerai itu, nilai pH bagi penggunaan tanah itu penting supaya pemilihan benih, baja dan racun adalah lebih tepat sekali gus menjamin hasil tuaian yang menggalakkkan.

“Tokai ini 70 peratus penduduknya bersawah padi di zon A dan di bahagian bukit.

“Apa yang kita mahu pihak Mada (Lembaga Kemajuan Pertanian Muda) dan PH nanti mesti buat kajian tentang status nilai pH tanah.

“Selama ini benih, baja dan racun yang diberi adalah sama tetapi hasil tidak sama,” jelasnya dalam slot Sembang Santai di Pejabat AMANAH Pendang yang disiar secara langsung di Facebook malam tadi.

Untuk rekod, pesawah di Tokai antara kira-kira 57,000 pengusaha yang dikawal selia Mada termasuk di Perlis.

Mada yang ditubuhkan sejak 1970 itu antara lain memberikan tiga kumpulan racun kepada petani iaitu racun kulat, racun tikus dan siput gondang emas lantaran ketiga-tiga haiwan perosak itu menjadi penyumbang tertinggi kepada kehilangan hasil padi.

Selanjutnya, Ustaz Firdaus ditemani wakilnya, Fadlun berkata, kepakaran dalam bidang berkaitan perlu diguna bagi meningkatkan pendapatan keluarga pesawah.

“Di Tokai ini, keadaan ekonomi kini menekan pesawah. Sumber pendapatan penanam padi semakin merosot disebabkan penyakit dan faktor cuaca.

“Sehubungan itu, manifesto PH Kedah memberi keutamaan untuk memperkasa sektor pertanian dan perikanan di negeri ini,” ujar Ahli Jawatankuasa Pilihan Raya AMANAH Peringkat Nasional itu.

Firdaus, 44, turut memberitahu golongan peniaga sekitar pekan Pendang juga mengadu tentang kelesuan aktiviti ekonomi pada masa ini.

Pada PRU-14 ini, beliau akan berentap tiga penjuru di kerusi disandang Pas itu. Pencabarnya dari BN adalah Ahmad Fatahi Omar manakala Pas diwakili Mohd Hayati Othman.

Dun Tokai yang terletak di bawah Parlimen Pendang (P11) mempunyai 36,140 pengundi dengan pengundi Melayu mencecah 91.4 peratus diikuti Cina 8.1 peratus.

8.0
OVERALL SCORE
: 7.0
1 user vote x 9.0