Kadar sewa naik 400%, peniaga Pasar Kedai Payang terpaksa gadai emas nak bayar wang pendahuluan

Oleh MAISARAH AISYA

Sebelum ini timbul isu membabitkan 400 peniaga di Pasar Payang yang terkejut melihat kenaikan harga sewa di tempat baru hampir 400 peratus berbanding sewaan lama.

Malah ada peniaga yang terpaksa menggadai dan menjual barang kemas untuk membayar wang pendahuluan untuk Pasar Kedai Payang 1.

Menurut Harian Metro, peniaga kedai emas seluas 3.048 meter persegi terpaksa menjelaskan bayaran pendahuluan termasuk bayaran papan tanda berjumlah RM5,130 sebelum kunci diserahkan.

Peniaga perlu membayar wang pendahuluan sewaan tiga bulan berjumlah RM2,400, bayaran papan iklan (RM1,600), amanah kunci (RM100), amanah letrik (RM100).

Bukan hanya itu bayaran termasuk perjanjian sewa (RM100) dan RM30 untuk bayaran surat akuan sewa serta bayaran bulanan RM800.

Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) menyediakan sebanyak 63 ruang niaga premis kedai emas di Pasar Kedai Payang 1 yang akan dibuka secara berperingkat berkuat kuasa Ahad ini.

Pengerusi Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Kuala Terengganu (PPPKKT), Zakaria Yusof mengesahkan ada peniaga terpaksa gadai emas untuk bayar wang pendahuluan.

“Kita mewakili lebih 400 peniaga mengharapkan permohonan pengurangan kadar sewa dapat diberi pertimbangan oleh kerajaan negeri.

“Dalam keadaan ekonomi yang kurang memberangsangkan, kita berpendapat belum masa sesuai untuk kerajaan negeri termasuk MBKT menaikkan kadar sewaan ruang niaga premis di Pasar Kedai Payang 1,” katanya seperti dipetik Harian Metro.

Media melaporkan, Datuk Bandar Kuala Terengganu, Datuk Rosli Latif bersetuju memulangkan wang pendahuluan ruang niaga di Pasar Kedai Payang Dua.

“Pemulangan wang pendahuluan berjumlah antara RM330 hingga RM1,200 itu tidak dapat membantu meringankan beban yang terpaksa ditanggung peniaga,” katanya.

Baca juga: Rancak promosi restoran dan gim, lelaki India tular kerana bergaduh kini bergelar ‘influencer’!