Malaysia Dateline

Kadar upah asas sektor awam lebih tinggi daripada swasta

Kadar upah asas bagi pekerja dalam perkhidmatan awam didapati lebih tinggi berbanding sektor swasta bagi tempoh September 2016 hingga Disember 2018, kata Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Mahfuz Omar.

Menurutnya, dalam tinjauan bagi tempoh sepuluh suku tahunan antara September 2016 dan Disember 2018 itu, kadar upah asas bagi sektor awam ialah sebanyak 11.2 peratus berbanding swasta 10.5 peratus.

“Untuk suku ketiga 2018 hingga suku keempat 2018 sahaja, peratusan peningkatan upah asas sektor awam adalah sebanyak 1.5 peratus berbanding 0.7 peratus di pihak swasta,” katanya dalam sidang media di sini hari ini berhubung Indeks Gaji Kebangsaan (NWI) yang dihasilkan oleh Institut Maklumat dan Analisis Pasaran Buruh (IlMIA).

Mahfuz berkata hanya tiga bidang pekerjaan sektor swasta iaitu profesional; jualan dan perkhidmatan; serta pekerja pengeluaran yang menerima kadar upah lebih tinggi berbanding sektor awam.

Bagi tempoh sama, katanya kadar upah asas bagi semua sektor ekonomi di Malaysia meningkat sebanyak 10.6 peratus.

Bagi Semenanjung, kadar upah asas meningkat 11.3 peratus manakala upah asas di Sabah dan Sarawak turut meningkat masing-masing 7.6 peratus dan sembilan peratus, katanya.

Beliau berkata bidang kerja selaku pengurus restoran dan penyelia projek pembinaan merupakan antara 10 pekerjaan yang merekodkan kenaikan upah asas paling perlahan iaitu -0.5 peratus.

“Ia disebabkan oleh bidang kerja itu diisi oleh pekerja baharu dan tidak berpengalaman yang tentunya dibayar dengan kadar upah rendah,” katanya.

Bagi tempoh sama, pekerja dalam sektor kewangan atau spesifiknya penganalisis kewangan merupakan antara 10 bidang kerja yang menerima peningkatan upah yang tinggi iaitu sebanyak 31.8 peratus, katanya.

Dalam pada itu, Mahfuz berkata Indeks Gaji Kebangsaan hanyalah sebagai panduan dalam membuat penyelarasan gaji dan upah serta input kepada dasar sumber manusia syarikat di negara ini.

Indeks itu juga sebagai penanda aras tempatan bagi perubahan gaji dan upah dalam pasaran buruh yang membolehkan pekerja menilai perbandingan perubahan gaji dalam kemajuan kerjaya mereka, katanya.

— BERNAMA