Malaysia Dateline

Kadar vaksin di Kedah masih jauh ketinggalan

Seharusnya dalam situasi yang amat mencabar mengekang penularan wabak Covid-19 tahap kadar penerimaan vaksin dikalangan rakyat negeri Kedah sudah mencapai tahap menggalakkan.

Namun begitu amat membimbangkan apabila kadar penerimaan vaksin tersebut masih jauh ketinggalan dari sasaran awal.

Pengerusi Biro Khidmat Masyarakat PKR Negeri Kedah, Datuk Ir Zamri Yusuf berkata, berdasarkan jumlah pemberian vaksin dos 1 dan 2 setakat ini di negeri Kedah amat membimbangkan.

“Setakat ini jumlah rakyat Kedah yang akan lengkap memperolehi 2 dos menjelang 1 Ogos nanti hanyalah sekitar 14 peratus dan ianya amat tidak memberangsangkan sama sekali dalam situasi yang semakin gawat tatkala ini.

” Manakala kadar pemberian vaksin adalah lebih baik pada bulan Julai jika dibandingkan dengan bulan sebelumnya. Namun begitu kerajaan negeri harus segera memberi fokus dan strategi yang betul bagi mendapatkan kesan yang lebih efektif.

” Berdasarkan tinjauan turun padang yang dibuat sanan hari mendapati masih terdapat ramai warga emas yang berusia 60 tahun ke atas masih belum menerima walaupun 1 dos dan ianya amat membimbangkan,” ujar beliau yang juga merupakan Adun Suka Menanti.

Katanya lagi, sehubungan itu kerajaan negeri dicadangkan supaya menyediakan saluran khas kepada warga emas untuk ‘walk in’ tanpa perlu menanti temu janji bagi meminimakan ruang mudarat sekiranya terlalu lama menanti untuk menerima vaksin tersebut.

Tambah Zamri saluran khas untuk warga emas perlu diimplemen di setiap daerah kerana dengan menyegerakan imunisasi vaksin tersebut kepada warga emas ia dijangka dapat mengurangkan risiko mudarat penularan virus tersebut.