Kadar zakat fitrah di Perak kekal RM7

Kadar zakat fitrah  di Perak kekal RM7

Kadar zakat fitrah Perak tahun ini kekal RM7 seorang, menurut kenyataan Zakat Perak-Majlis Agama Islam dan ‘Adat Melayu Perak (MAIPk).

Kenyataan itu menyebut  kadar itu ditetapkan pada Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak yang bersidang 16 Jan lepas.

“Pembayar juga digalakkan membayar melebihi kadar ditetapkan atas dasar tatawwu’ atau sukarela, maka ditawarkan RM14 bagi yang menggunakan beras wangi dan seumpamanya serta RM21 bagi yang menggunakan beras Basmathi dan seumpamanya,” jelas kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, bayaran zakat dianggap sah apabila dijelaskan di pejabat-pejabat MAIPk atau melalui amil-amil bertauliah MAIPk di dalam negeri Perak.

Pembayaran zakat dengan MAIPk sentiasa dipantau dan diselia mengikut prosedur operasi standard, hasil terkumpul diuruskan dengan selamat dan diagih telus kepada asnaf-asnaf zakat yang layak. – BERNAMA