Kadar zakat fitrah di Terengganu RM7

Kadar zakat fitrah di Terengganu RM7

Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) hari ini mengumumkan kadar fitrah bagi tahun ini tidak kurang RM7 seorang.

Yang Dipertua Maidam, Datuk Shaikh Harun Shaikh Ismail berkata kadar nilaian wang tunai itu dikira berdasarkan kepada harga beras gred super tempatan di pasaran.

“Kadar zakat fitrah ini ditetapkan setelah mendapat perkenan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin pada 18 Mei lalu.

“Bagi mana-mana orang yang memakan beras dari jenis Super Import, kadar bayarannya adalah senilai dengan kadar beras yang dimakannya iaitu bersamaan 2.60 kilogram atau 2.97 cupak yang bersamaan satu gantang Baghdad,” katanya kepada pemberita dalam sidang media di sini hari ini.

Tahun lepas Maidam juga menetapkan kadar yang sama dan bagi melancarkan kutipan zakat pada tahun ini Maidam telah melantik 1,038 amil yang ditempatkan di beberapa lokasi terutamanya di masjid dan surau seluruh Terengganu.

Shaikh Harun berkata selain itu, orang ramai juga boleh membayar zakat fitrah di mana-mana kaunter bayaran zakat Maidam dari 8.30 pagi hingga 4.30 petang pada hari bekerja biasa dan pada minggu terakhir Ramadan, kaunter ini akan dibuka tujuh hari seminggu.

“Sukacita juga saya mengingatkan bahawa adalah menjadi kesalahan sekiranya mana-mana orang Islam di negeri ini membayar fitrah atau zakat yang lain kepada orang selain Maidam atau wakilnya. Ini telah termaktub dalam Seksyen 20 (b) dalam Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) Terengganu 2001.

Jika sabit kesalahan, individu terbabit boleh didenda tidak melebihi RM3,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya,” katanya.

Datuk Shaikh Harun Shaikh Ismail Shaikh Harun berkata pada tahun 2016, Maidam berjaya memungut fitrah sebanyak RM6.037 juta dan ia menyumbang kepada 4.5 peratus dari jumlah keseluruhan pungutan zakat di Terengganu.

Maidam telah membelanjakan sebanyak RM43.15 juta wang zakat kepada lapan kategori asnaf yang layak sepanjang empat bulan pertama tahun ini.

Asnaf Fisabilillah golongan tertinggi terima zakat

Shaikh Harun berkata perbelanjaan kepada asnaf fisabilillah adalah yang tertinggi iaitu RM14.9 juta diikuti perbelanjaan untuk asnaf miskin (RM18.4 juta) dan asnaf fakir (RM5.77 juta).

“Perbelanjaan kepada asnaf fisabilillah ini kebanyakannya ialah untuk anak-anak golongan miskin melanjutkan pelajaran mereka kerana kita tidak mahu golongan ini terus mewarisi kemiskinan keluarga.

“Apabila sahaja mendapat tawaran menyambung pelajaran ke peringkat ijazah, anak-anak ini akan diberi bantuan RM1,000 manakala diploma (RM800) dan ke sekolah berasrama penuh (RM500). Wang zakat ini diharap mampu menyuntik semangat mereka untuk terus belajar bersungguh-sungguh dan mengubah nasib keluarga,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis pengisytiharan kadar zakat fitrah bagi Terengganu tahun 2017 di sini hari ini.

 Mengulas lanjut, Shaikh Harun berkata sebanyak RM133.6 juta kutipan zakat berjaya direkodkan pada tahun lepas dan ia adalah rekod kutipan tertinggi Maidam setakat ini.

“Setiap tahun jumlah ini akan meningkat dan saya berharap jumlahnya akan terus bertambah kerana kita boleh memantapkan ekonomi umat Islam melalui agihan zakat ini di mana bantuan kepada fakir miskin tidak lagi berbentuk wang bulanan, sebaliknya kita bimbing mereka supaya berniaga dan keluar dari kepompong kemiskinan.

Setakat ini, Maidam memang banyak membantu golongan fakir miskin yang mahu berniaga contohnya mengagihkan mesin pemerah santan dan motosikal roda tiga kepada usahawan yang kurang upaya,” katanya.

Kutipan zakat pada tahun 2011 ialah RM88.29 juta dan terus meningkat pada 2012 (RM107.08 juta), 2013 (RM121.1 juta), sedikit menurun pada 2014 (RM120.11 juta) namun kembali meningkat pada 2015 (RM126.64 juta).

COMMENTS

Wordpress (0)