Kadar  zakat fitrah RM7 bagi negeri Terengganu

Kadar zakat fitrah RM7 bagi negeri Terengganu

 

 

 

 

 

 

Shaikh Harun Shaikh Ismail Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) menetapkan kadar fitrah bagi tahun ini sebanyak RM7 seorang.

Yang Dipertua Maidam Datuk Shaikh Harun Shaikh Ismail berkata, kadar nilai tunai itu dikira berdasarkan kepada harga beras gred super tempatan di pasaran.

“Kadar fitrah yang ditetapkan itu dibuat setelah mendapat perkenan Sultan Terengganu. Bagi mana-mana orang yang memakan beras dari jenis Super Import, maka kadar bayarannya adalah senilai dengan kadar beras yang dimakannya iaitu bersamaan 2.60 kilogram.

“Fitrah juga boleh dibayar dengan beras dan kadar timbangannya adalah 2.60 kilogram atau dengan sukatan 2.97 cupak yang bersamaan dengan satu gantang Baghdad,” katanya kepada pemmberita di sini hari ini.

Shaikh Harun berkata untuk membayar fitrah, orang ramai yang beragama Islam bolehlah membayarnya di mana-mana kaunter bayaran zakat Maidam dari 8.30 pagi hingga 4 petang pada hari bekerja biasa.

“Bagi memberi kemudahan kepada masyarakat Islam negeri ini, bermula 24 Jun hingga 5 Julai ini, kaunter bayaran zakat fitrah Maidam akan dibuka tujuh hari seminggu bermula 8.30 pagi hingga 4 petang dan kita galakkan pengeluar fitrah dibuat di masjid atau surau-surau bagi mengimarahkan tempat-tempat berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, Maidam turut melantik seramai 1,048 amil yang mana 68 orang daripadanya baru dilantik pada tahun ini dan mereka akan menjalankan pungutan fitrah serta zakat harta di setiap masjid dan surau.

“Sukacita saya mengingatkan bahawa adalah menjadi kesalahan sekiranya mana-mana orang Islam di negeri ini membayar fitrah atau zakat kepada orang selain

Maidam atau wakilnya,” kata beliau.

Tambahnya, jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM3,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Shaikh Harun berkata pada tahun lepas Maidam berjaya memungut fitrah sebanyak RM5.9 juta dan mensasarkan pungutan sebanyak RM6 juta pada tahun ini.

 

TAGS