Malaysia Dateline

Kadir anggap Jasa bantu perkukuh Muhyiddin, Bersatu

Tokoh wartawan veteran, Datuk Abdul Kadir Jasin berpendapat muslihat untuk menghidupkan semula Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) adalah demi mengukuhkan kedudukan Muhyiddin Yassin dan Bersatu.

Menurutnya, Muhyiddin lebih memahami dan mempunyai kuasa untuk mewujudkan kembali Jasa yang dibubarkan pada Mei 2018 oleh Pakatan Harapan (PH) selepas menang dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

“Maka siapakah yang lebih faham mengenai Jasa dan mempunyai kuasa untuk menghidupkannya semula kalau bukan Muhyiddin?

“Sebagai bekas veteran Umno dan bekas Timbalan Presidennya, Muhyiddin tentu cukup faham tentang jasa-jasa yang Jasa boleh lakukan untuk beliau.

“Maka intrigue atau muslihat di sebalik penghidupan semula Jasa adalah untuk membantu memperkukuhkan kedudukan Muhyiddin dan partinya, Bersatu,” katanya dalam hantaran menerusi Facebook beliau hari ini.

Kadir yang juga bekas Penasihat Komunikasi dan Media kepada Dr Mahathir Mohamad ketika menjadi Perdana Menteri itu berkata, Muhyiddin tidak terlalu bodoh untuk menyerahkan Jasa kepada Umno.

Muhyiddin juga, jelasnya, tidak akan berkongsi dengan parti-parti Perikatan Nasional (PN) ketika Presiden Bersatu itu sendiri tidak tahu tahap sebenar sokongan dan taat setia mereka terhadapnya.

“Semua kita sudah tahu bahawa matlamat Bersatu adalah menjadi parti Pribumi terbesar di negara ini sehingga mampu mengambil alih peranan Umno sebagai parti induk politik Malaysia.

“Jadi betullah kata orang kuat Umno yang juga Setiausaha Agung BN, Annuar Musa bahawa Jasa baru tidak akan jadi macam Jasa lama. Sebabnya manakala Jasa lama milik Umno, Jasa baru adalah milik Bersatu,” tambah Kadir lagi.