Malaysia Dateline

Kadir Jasin harap Menteri Kewangan teruskan saman Goldman Sachs

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz diharap akan meneruskan tindakan saman terhadap bank terkemuka global, Goldman Sachs Group Inc. berhubung skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Tokoh wartawan veteran, Datuk Abdul Kadir Jasin berkata, langkah tersebut perlu dilakukan memandangkan negara menanggung kerugian dan bebanan hutang yang tinggi.

“Kita harap, Tengku Zafrul sebagai bekas eksekutif perbankan lebih arif dalam hal mendapatkan ganti rugi daripada Goldman Sachs dan meneruskan saman ke atas syarikat itu.

“Kita kena ingat bahawa akibat scam 1MDB ini saja, negara menanggung hutang lebih RM42 bilion dan banyak aset nasional seperti Edra Global Energy telah jatuh ke tangan pelabur asing, khususnya negara China,” katanya dipetik dari Facebook beliau hari ini.

Beliau mengulas reaksi Zafrul yang dilapor kerajaan tidak bersedia menerima ganti rugi AS$3 bilion (RM12.8 bilion) daripada Goldman Sachs untuk menyelesaikan kes berkaitan 1MDB.

Skandal yang menyelubungi syarikat pelaburan bermasalah itu mendorong penyiasatan di seluruh dunia, dengan pegawai Amerika Syarikat (AS) mengatakan lebih AS$4.5 bilion mengalir daripada 1MDB, menerusi rangkaian transaksi yang samar dan syarikat tidak aktif (shell company).

Mengulas lanjut, Kadir yang juga mantan Penasihat Komunikasi dan Media kepada bekas Perdana Menteri berkata, unsur ‘scam’ (penipuan) mula dikesan apabila Goldman dibayar komisen AS$600 juta iaitu kira-kira RM2.7 bilion pada kadar tukaran hari ini.

“Satu dunia, termasuk kerajaan Amerika, terkejut dengan jumlah komisen yang Najib dan Jho Low bayar kepada Goldman Sachs.

“Sebaik saja membentuk kerajaan pada tahun 2018, Pakatan Harapan (PH) terus menuntut ganti rugi daripada Goldman Sachs dan mengambil tindakan undang-undang terhadap Najib dan pesekongkolnya dalam scam itu,” ujarnya.

Untuk rekod, Dr Mahathir sejak 2018 iaitu ketika awal pentadbiran kerajaan PH menegaskan Malaysia akan berusaha mendapatkan semula dana yang berpotensi hilang menerusi 1MDB serta yuran yang dibayar kepada Goldman.

“Tetapi bukan Malaysia saja yang sedang atau sudah ambil tindakan ke atas Goldman Sachs. Amerika, Singapura, Switzerland dan beberapa buah negara lain juga turut mengambil tindakan.

“Kerajaan Amerika bercadang mendenda Goldman Sachs AS$2 bilion (RM9 bilion) kerana terlibat dengan skandal 1MDB itu.

“Singapura dan Switzerland menutup beberapa buah bank persendirian (private bank) yang terlibat menyalurkan duit scam 1MDB itu bagi pihak Najib dan Jho Low,” kata Kadir.

Sebaliknya, beliau berkata, hanya di Malaysia sahaja perbicaraan masih dijalankan ketika semua pihak terbabit di negara lain telah dipenjara, didenda dan diharamkan daripada bergiat dalam industri perbankan.

“Ini barulah scam sebebarnya iaitu apabila pihak yang kena scam rugi berpuluh bilion ringgit dan menanggung beban yang sangat berat. Bukan scam di mana mangsa dapat habuan RM42 juta.

“Walaupun Kerajaan PH telah ditumbangkan oleh Perikatan Nasional dalam rampasan kuasa Mac lalu, kita harap tindakan undang-undang ke atas “scammer/ scammers” 1MDB diteruskan tanpa tolak ansur,” tegas Kadir lagi.