Malaysia Dateline

Kadir Jasin ingatkan Bersatu tidak jadi parti murahan terima bekas pemimpin Umno

Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) diingatkan agar mengkaji dan memahami latar belakang bekas pemimpin Umno yang mahu diterima ke menyertai parti itu agar tidak dilihat sebagai parti murahan.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Datuk A Kadi Jasin berkata, keghairahan memujuk bekas pemimpin Umno masuk Bersatu akan melemahkam semangat ahli yang sedia ada khusunya golongan muda.

“Kaji dan fahami dulu latar belakang bekas pemimpin Umno yang hendak diambil dan dimuliakan itu.

“Maaflah kalau saya kata, sudah ada bekas pemimpin Umno yang tak laku lagi di dalam Umno, tetapi diambil oleh Bersatu dan diuar-uarkan sebagai kejayaan besar.

“Saya mohonlah kepada mereka yang ghairah memujuk bekas pemimpin Umno masuk Bersatu agar berhati-hati sikit bagi mengelak Bersatu  daripada menjadi parti murahan dan dalam proses itu melemahkan semangat ahli yang sedia ada, khususnya golongan muda.

“Ingatlah, walaupun hari ini mereka keluar Umno dan menyertai atau menyokong kita, dulu mereka adalah musuh politik kita.

“Sekarang mereka hendak menyertai kita kerana parti mereka sudah rosak dan kalah. Siapakah yang rosakkan Umno kalau bukan mereka sendiri?,”soalnya dalam tulisan di blognya hari ini.

Wartawan veteran dan penulis politik ini juga menegaskan Pakatan Harapan wajib mengutamakan pemimpin dan ahli sendiri yang berjuang dan mengambil risiko besar.

“Jangan sekali-kali kita menyusukan kera di hutan hingga anak di rumah mati kebuluran.

“Jaga elok-elok orang kita sendiri sebelum kita menimang dan menatang orang yang mengetuk pintu kita hanya setelah kita menang,” ujarnya lagi.

Beliau tidak menafikan ada dikalangan bekas pemimpin dan ahli Umno yang menyertai PH kerana keikhlasan tetapi ada juga kerana mencari peluang dan perlindungan.

“Selepas tujuh bulan kita mentadbir negara, ke mana pun saya pergi, orang kita bersungut mengenai orang Umno yang masih menguasai jentera akar umbi dan membolot kontrak kecil.

“Jadi berwaspadalah. Kemenangan kita pada 9 Mei terlalu berharga untuk dikorbankan,” ujarnya.

Setakat hari ini seramai 17 ahli Dewan Rakyat, 2 ahli Dewan Negara dan 22 ahli Dewan Undangan Negeri Umno/Barisan Nasional telah mengumumkan keluar parti.

Beberapa orang daripada mereka telah menyertai Bersatu, tetapi majoriti memilih untuk menjadi ahli bebas di Parlimen dan Dun.

Selain Bersatu, dua parti komponen Pakatan Harapan (PH) DAP dan AMANAH bersedia membuka pintu kepada bekas ahli Umno manakala PKR menyatakan yang ia tidak akan menerima mereka.