Kadir Jasin persoalkan Gojek jadi pilihan pengangkutan awam rakyat

Kadir Jasin  persoalkan Gojek jadi pilihan pengangkutan awam rakyat

Datuk A Kadir Jasin mempersoalkan keputusan kerajaan meluluskan cadangan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) untuk melaksanakan perkhidmatan teksi motosikal atau Go-Jek di negara ini.

Penulis prolifik politik itu berkata, aplikasi Gojek yang diambil ideanya dari Indonesia itu adalah sebuah pengangkutan awam tidak formal bagi mengatasi kesesakan lalu lintas dan kekurangan pengangkutan awam di negara tersebut.

Bagaimanapun kata Kadir mempersoalkan, adakah Kuala Lumpur sesak dan kurang pengangkutan awam seperti di Jakarta?

“Apakah ini pengakuan bahawa berpuluh bilion ringgit yang dibelanjakan membina MRT, LRT dan Rapid KL serta memperluaskan sistem jalan raya gagal mencapai matlamat?

“Adakah Go-jek pekerjaan kemahiran tinggi dan pendapatan tinggi yang menjadi dasar kerajaan?

“Apakah jaminan keselamatan memandangkan kadar kemalangan jalan raya dan nisbah kematian yang tinggi, khususnya di kalangan penunggang dan pembonceng motosikal?

“Adakah ia akan menjadi satu lagi kegiatan ekonomi yang akan meletakkan Bumiputera di anak tangga terendah dalam hierarki pendapatan?

Wallahuaklam. Mohon ampun. Terima kasih,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam Menteri Pembangunan Usahawan Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof berkata, Kabinet sudah memberi lampu hijau mengenai program itu namun KBS dan Kementerian Pengangkutan (MOT) perlu tampil dengan perincian undang-undang terlebih dulu secepat mungkin.

Menurutnya, beliau menjangkakan KBS dan MOT akan tampil dengan undang-undang yang perlu dalam tempoh dua bulan ini sebelum boleh dilaksanakan.